Sebenarnya, tanpa kita sedari bilangan penggiat seni Indie ini mungkin lebih ramai dari karyawan seni di arus perdana itu sendiri.
Senario karya seni indie di tanah air bukanlah sesuatu yang baru malah penerimaan masyarakat ke atas penggiat seni indie sudah banyak berubah ke arah yang lebih positif.
Astro AWANI sempat menghubungi tiga penggiat seni Indie dari bidang-bidang tertentu dalam memperkatakan mengenai cabaran yang mereka hadapi ketika berkarya.
Antara lain, kata mereka, bukan sumbangan kewangan yang dimahukan tetapi ruang, pengiktirafan dan penghargaan yang diperlukan.
“Tidak mahu bantuan berkepentingan” – Penerbit buku indie
Merpati Jingga merupakan sebuah syarikat penerbitan buku-buku indie yang sudah bertapak sejak tahun 2011.
Sehingga kini, Merpati Jingga telah menerbitkan lebih dari 20 buah buku hasil karya penulis-penulis alternatif.
Faisal Mustaffa (kanan) bersama Haliza Misbun ketika pelancaran buku Cinta Rimau hasil tulisan Haliza - Sumber Twitter Merpati Jingga
Kata Pengarah Urusannya Faisal Mustaffa, Merpati Jingga diwujudkan bagi memberi peluang kepada penulis yang mempunyai idea namun tidak sesuai diterbitkan di arus perdana.
“Objektif Merpati Jingga adalah memberi peluang kepada penulis-penulis di luar sana yang punya cerita tetapi tidak sesuai untuk diterbitkan secara mainstream, jadi kami bantu dalam merealisasikan idea mereka,” katanya.
Antara buku yang telah diterbitkan Merpati Jingga adalah "Bogel Menuju Tuhan" karya Zahiril Adzim, "Cerpen Twitter" karya Ajami Hashim, "Homeless By Choice" karya Mislina Mustaffa dan banyak lagi.
Faisal mengakui Merpati Jingga lebih senang untuk kekal dikenali sebagai penerbit buku indie kerana tidak mahu terbeban dengan bantuan beragenda.
“Secara financially kami independent, kerana kami tidak mahu terkekang dengan bantuan atau dana yang ‘berkepentingan,’” tegasnya.
Kata Faisal, dalam Bajet 2015 kali ini bukan sumbangan yang diharapkan tetapi lebih banyak penglibatan dari pihak kerajaan dalam membantu penerbit-penerbit buku sepertinya.
“Saya mahu agar lebih banyak penyertaan kerajaan dalam mengadakan kempen penggalakkan budaya membaca.
Serta memperbanyakkan penganjuran forum-forum diskusi mengenai kandungan sesebuah buku,” kata Faisal yang turut mengakui keuntungan bukan fokus utama Merpati Jingga.
“Pulangan itu penting tetapi bukan bertujuan untuk ‘menjadi kaya’ tetapi cukup untuk survive kepada projek yang lain, kerana apa yang penting adalah kebebasan berkarya dan tiada pembaziran.
“Namun apa yang merisaukan saya adalah perlaksanaan GST nanti yang dikhuatiri akan meningkatkan kos dan mengurangkan pembelian. Saya ada mendengar desakan agar penerbit buku seperti saya dikecualikan dari GST, saya harap begitulah,” kata Faisal yang biasa memperuntukkan modal RM5,000 dalam menerbitkan sesebuah buku.
Modal tersebut adalah termasuk kos majlis pelancaran sesebuah buku dan sumbangan awal kepada penulis.
“Saya senang mencari peluang sendiri” - Artis graffiti
Umurnya baru 27 tahun, namun Muhammad Fakhrul Akmal sudah berkecimpung di dalam arena seni graffiti sejak tahun 2000 lagi.
Menggunakan nama Mile09 pada setiap karyanya, dia mengakui bangga bila akhirnya dapat menjadikan minatnya itu sebagai satu profesion tetap.
Seni grafiti tidak lagi dipandang sebagai satu vandalisme seperti dulu, kini banyak peluang diberi kepada artis seperti Mile09 untuk ‘menyembur’ karyanya.
“Alhamdulillah, banyak badan korporat memberi kepercayaan kepada saya untuk melukis grafiti di acara-acara anjuran mereka antaranya adalah Petronas dan Red Bull” cerita Mile09.
Mile09 bersama salah satu karyanya yang lakarkan di Dengkil, Selangor - Foto sumber FB Mile09
Terbaru, Mile09 turut ditawarkan oleh Kementerian Pertanian untuk melukis graffiti di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) akan datang.Namun, Mile09 berkata dibayar untuk berkarya bukanlah objektif utama artis graffiti sepertinya.
“Saya tidak mengejar kuantiti projek, apa yang penting adalah karya itu dihargai.
Penghargaan ke atas sesebuah karya seni grafiti sangat kurang. Rata-rata memandang ianya sebagai satu semburan di dinding tetapi bukan nilai seni di sebalik karya itu.
Ramai yang tidak tahu, selain seni semburan, menjadi artis graffiti juga memerlukan modal yang banyak terutama dalam membeli cat spray yang kebanyakannya diimport dari luar negara bagi mendapatkan warna dan ketebalan yang terbaik,” katanya yang banyak menggunakan cat spray dari Australia dan Jerman.
Bila ditanya mengenai apa yang diharapkan dalam belanjawan kali ini, Mile09 mahu kerja seni mereka lebih dihargai.
“Ini kerana saya dan beberapa artis grafiti pernah mengalami pengalaman yang tidak menarik ketika diberi peluang berkarya di Balai Seni Negara.
Peluang itu merupakan satu peluang yang sangat bermakna buat kami artis grafiti, tetapi apa yang menyedihkan, selepas enam bulan, semburan kami di dinding itu dicat semula untuk memberi ruang kepada artis seterusnya” katanya.
Pengalaman itu menyebabkan Mile09 senang untuk mencari peluang sendiri untuk berkarya.
“Itu yang saya katakan, masyarakat masih tidak tahu bagaimana untuk menghormati karya seni grafiti. Di luar negara, karya seni grafiti yang mempunyai nilai seni dibiarkan sehingga lebih 10 tahun untuk tatapan rakyat.
Ambil sahaja contoh mural di Penjara Pudu dulu yang pernah dibanggakan negara. Sekarang mana perginya?” kata bapa kepada seorang anak ini.
Mile09 turut menyuarakan pandangan mengenai peluang kepada artis graffiti tempatan seperti dirinya yang dirasakan masih tidak banyak.
“Di Pulau Pinang misalnya, artis luar diberi kebenaran melukis di dinding dan dibiarkan. Tetapi kami yang lokal, berkarya dan kemudian menunggu masa karya itu dipadam. Tiada pengiktirafan.” kata Mile09 lagi.
“Sokongan kerajaan kepada Buskers sudah lebih baik” – Pemuzik Jalanan
Aktiviti busking atau pemuzik jalanan bukan lagi asing bagi masyarakat, malah ianya dilihat sebahagian dari budaya masyarakat moden hari ini atau ‘pop culture’.
Bagi Meor Yusof Aziddin, 47 yang sudah terlibat dalam arena busking sejak tahun 1984 berkata penerimaan masyarakat sekarang kepada golongan buskers sudah banyak berbeza berbanding dahulu.
“Dulu sinonim pemuzik jalanan dilihat semacam pengemis, kini mungkin ramai yang tidak tahu menjadi buskers merupakan satu kerjaya,” katanya yang bekerja sebagai busker sepenuh masa atau profesional di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010.
Meor Yusof Aziddin ketika bermain muzik di KL Sentral - Foto sumber Facebook Meor Yusof Aziddin
Meor turut bersyukur dengan sokongan yang diberikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersama Malaysian Buskers Club (MYBC) dalam menganjurkan aktiviti busking di setiap negeri untuk program sepanjang tahun bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
“Banyak inisiatif yang dibuat bagi mengembangkan dan mempopularkan aktiviti basking antaranya kami buskers sudah dua tahun terlibat dengan program Langkawi Buskers Festival (LBF) yang disertai oleh lebih 150 buskers.
LBF adalah anjuran MYBC dengan kerjasama dan sokongan dari Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA ), Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sekretariat Visit Malaysia Year 2014, Kerajaan Negeri Kedah dan Agensi Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya yang sudah menghasilkan 10 album Indie sejak dari tahun 2000.
Bapa kepada empat orang anak itu turut berkata, dia berbangga dengan tahap pencapaian penghibur jalanan sekarang yang terus diangkat sebagai satu ikon jalanan yang positif.
“Bukan keuntungan yang dicari tetapi peluang.
Sekarang lebih mudah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pun banyak memberi peluang kepada buskers untuk bermain muzik di jalanan. Permit untuk busking ada disediakan malah DBKL banyak menjemput buskers untuk menyertai program anjuran mereka bagi menghiburkan masyarakat secara ‘live’ dari pagi ke petang” terangnya lagi.
Meor turut memuji keterbukaan badan bukan NGO seperti Kakiseni kerana giat menaikkan konsep aktiviti busking ini agar diterima oleh setiap lapisan masyarakat.
“Kakiseni pun banyak menganjurkan aktiviti busking , salah satunya ‘Busktop’ pada Februari lalu yang mana pemuzik jalanan lama dan baru dijemput bermain muzik sekitar Pavillion dan di hadapan kompleks beli belah ‘Farenheit 88’ Bukit Bintang” jelasnya yang yang berasal dari Beruas, Perak.
Di akhir bicara, Meor berkata sebagai pemuzik jalanan dia mengharapkan agar masyarakat Malaysia lebih peka pada nilai seni dan kreativiti dan beri ruang untuk pemuzik jalanan berekspresi.
“Mungkin banyak peluang yang diberikan, namun masyarakat perlu lebih peka pada nilai seni dan kreativiti serta lebih menghargai bakat-bakat anak muda yang ada tanpa memikirkan aspek keuntungan berbanding nilai seni itu sendiri,” katanya.