Menurutnya, asas sesebuah perniagaan sebenarnya bukan sekadar menjual nama tetapi mengenai menyusun strategi dan menjaga kualiti.
Dalam iklim ekonomi semasa yang tidak menentu, Siti Nurhaliza turut mengakui bahawa perniagaannya terkena tempias cabaran yang bukan sedikit.
Dalam sebuah wawancara di pejabat pengurusan jenama kosmetik SimplySiti, Siti Nurhaliza berkongsi cerita, rahsia dan petua menghadapi selok-belok bisnes dan belanjawan dengan Astro AWANI.
MINAT SAHAJA TIDAK CUKUP
Umum tahu, syarikat kosmetik SimplySiti tercetus setelah Siti Nurhaliza menyedari bahawa dirinya mampu mengetengahkan sebuah jenama sendiri setelah banyak kali mempromosi jenama antarabangsa sepanjang berkecimpung dalam industri seni.
Begitupun, menyedari bahawa dirinya kekurangan ilmu berkaitan perniagaan, beliau bertindak dengan mengenal pasti dan menghimpunkan tenaga profesional yang boleh menguatkan asas perniagaan impiannya itu.
"Apabila ada fikiran dan keinginan, dan dibantu oleh suami yang juga seorang usahawan, di situlah perlahan-lahan kami mencari kumpulan profesional untuk turut serta dalam SimplySiti," ujar beliau.
Menurutnya, pengalaman bergandingan dengan tenaga profesional itu ibarat proses pembelajaran yang sangat berharga. Menongkah pasaran selama lima tahun juga suatu tempoh yang masih dianggap baharu buat mereka. Sepanjang tempoh itu, banyak usaha ditumpukan untuk memperbaiki operasi, organisasi dan juga produk.
'SimplySiti ialah kualiti'
CABARAN AWAL DALAM BERNIAGA
Dalam menguji gelombang dunia berniaga, kemasyhuran nama Siti Nurhaliza bukanlah tiket pantas untuk menjayakan keyakinan umum terhadap SimplySiti. Beliau mengakui, taraf selebriti yang dimilikinya tidak boleh menjadi jalan pintas kerana pada akhirnya, pengguna akan mengambil kira tahap kualiti produknya.
Dalam mencari keseimbangan itu, para petugas profesional SimplySiti bekerja keras untuk merealisasikan sasaran awal seperti keperluan menepati piawaian pembangunan produk, pemasaran, rangkaian bekalan, penyelidikan sumber bahan dan lain-lain.
"Lebih utama, SimplySiti amat menitikberatkan soal status halal dan itu juga memerlukan kami lebih teliti," jelasnya yang telah mendalami lebih banyak selok-belok pengurusan berdasarkan ketetapan konsep tersebut bersama pasukannya.
'Halal itu penting'
Cabaran terbesar SimplySiti
TENTANG GST DAN KEJATUHAN NILAI RINGGIT
Iklim ekonomi yang menekan kuasa belanja pengguna sekarang ini, bagi Siti Nurhaliza, adalah satu ujian dan kerungsingan yang dirasai semua pengusaha bisnes sepertinya. Dalam pemerhatian beliau, pengguna semakin berwaspada dengan perbelanjaan dan mula menghadkan pembelian.
Sambil mengharap ketidaktentuan ekonomi segera pulih, pasukan SimplySiti mempunyai cara tersendiri dalam berdepan situasi tersebut. Antaranya ialah dengan meneruskan jualan tetapi pada masa yang sama menyusun semula rentak pemasaran dan mengurangkan perbelanjaan.
Saksikan video berikut untuk mengikuti pandangan Siti Nurhaliza tentang kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan kejatuhan nilai ringgit:
Impak GST terhadap SimplySiti
Sementara itu, suami Siti Nurhaliza, Datuk Khalid Mohamad Jiwa yang sentiasa menemani beliau turut berkongsi sedikit tentang situasi perniagaan mereka.
Menurut beliau, orang ramai pasti menganggap SimplySiti sebuah jenama besar yang membuat untung yang tidak kurang besarnya. Namun, pasangan tersebut dan pasukan pengurusan mereka amat merasai tamparan ekonomi khususnya impak kejatuhan nilai ringgit.
"Kami terkesan dengan kejatuhan ringgit kerana kami terlibat dalam pengimportan bahan-bahan dari luar negara khususnya Korea. Benar, jika dilihat pada transaksi SimplySiti, jualannya mencecah angka jutaan ringgit setahun. Namun, kami juga menghabiskan puluhan ribu ringgit sebulan untuk melunaskan tuntutan GST.
"Secara umumnya, apa yang kita hendak lihat daripada hasil kutipan GST itu nanti adalah agar kerajaan akan segera memulangkannya kepada rakyat dalam pelbagai bentuk dan saluran yang wajar," kata Khalid yang selesa berada di belakang kamera sewaktu kru Astro AWANI berkunjung ke pejabat urusan SimplySiti baru-baru ini.
TIP DAN PETUA
Melihat kesungguhan pasukan SimplySiti memastikan jenama kebanggaan negara itu kekal berdaya saing tanpa sebarang bentuk bantuan secara langsung daripada kerajaan, tentunya ramai pihak yang ingin Siti Nurhaliza berkongsi nasihat dalam memulakan bisnes.
Dalam nada merendah diri dan menganggap perniagaannya masih dalam usia muda, Siti Nurhaliza jujur mengakui bahawa dirinya bukanlah orang yang layak memberi nasihat memandangkan beliau sendiri masih 'berguru' dengan ramai pihak.
Bagaimanapun, penyanyi kesayangan ramai ini sempat menyentuh tentang ruang dan peluang dalam dunia tanpa sempadan iaitu media sosial serta internet, yang menurutnya menjadi platform termudah buat sesiapapun yang mahu berjinak-jinak dengan perniagaan.
Ceburi 'online business' untuk pendapatan sampingan
Beliau menambah, peniaga harus percaya bahawa rezeki ada di mana-mana sahaja dan untuk memulakannya perlu disertai perancangan yang baik, ilmu dan kreativiti selain diiringi doa, ikhtiar serta kesungguhan.
Sementara itu, dalam menjaga belanjawan peribadi dan isi rumah, Siti Nurhaliza turut mengajak rakyat Malaysia supaya membiasakan diri dengan amalan menyimpan wang walaupun sedikit. Kata beliau, akan tiba satu ketika, simpanan tersebut akan diperlukan untuk meringankan tanggungan atau kos sesuatu keperluan.
Selain daripada itu, suri rumah dan anak-anak perlu bijak mengenal antara keperluan dan kehendak, membuat perbandingan harga, mencatat belanjawan bulanan, memahami hak pengguna selain mengawal diri daripada membuat perbelanjaan mewah.
HARAPAN BAJET 2016
Menyentuh soal Bajet 2016 yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 23 Okt ini, Siti Nurhaliza meletakkan harapannya sebagai usahawan adalah sama penting dengan hasrat mana-mana lapisan masyarakat Malaysia.
Beliau bagaimanapun menegaskan, antara tumpuan Bajet 2016 harus ditumpukan kepada golongan berpendapatan sederhana dan juga rendah agar kelompok itu tidak terpinggir dalam arus cabaran ekonomi semasa dan akan datang.
Siti Nurhaliza menyimpulkan, hanya apabila keadaan ekonomi kembali kepada situasi yang melegakan, rakyat akan kembali mendapat rentak kehidupan dan bersatu menyayangi kepimpinan negara.
Harapan #Bajet2016