Demikian ujar Mohd Amir Rapini, salah seorang dari 489 pekerja yang diberhentikan kerja buat sementara waktu dari kilang keluli Megasteel Sdn Bhd.
Keluhan Amir disambut teriakan kira-kira 60 pekerja yang mengadakan piket di pintu hadapan Megasteel hari ini.
Sebagai sebahagian daripada langkah lay-off ini, kesemua mereka dipotong gaji 50 peratus.
"Mereka zalim. Saya sudah berbelas tahun di sini. Saya ada tiga orang anak, semuanya bersekolah lagi," tambahnya.
Megasteel Sdn Bhd hanya salah satu mangsa kejatuhan industri keluli tempatan akibat penurunan ringgit dan kegiatan lambakan keluli dari China.
Pengeluar tempatan kini berdepan persaingan sengit ekoran harga keluli dari China yang rendah dan peningkatan kos operasi.
"Pengeluar keluli tempatan terjejas teruk dengan aktiviti import lambakan keluli dengan harga murah sejak beberapa tahun lalu," kata Megasteel dalam satu kenyataan hari ini.
#ICYMI [VIDEO] Tengku Razaleigh Hamzah: Cukupkah pekerjaan di Malaysia?
Megasteel berkata, kini kapasiti pengeluarannya hanya digunakan 20 ke 30 peratus.
Ia turut menyaksikan kerugian RM2 bilion pada 2014 dan paras terkini pinjaman banknya melebihi RM12 bilion.
"Kami sedih kerana terpaksa melakukannya (pemberhentian kerja sementara). Kalau kami boleh elakkan, kami akan elakkan," kata Vasu Palanisamy, Pengurus Kanan Perhubungan Pekerja Lion Group, syarikat induk Megasteel.
Tambahnya: "Kita mengharap keajaiban, agar industri keluli tempatan pulih kembali dan kita boleh sambung kerja seperti biasa."