Daripada 20,000 surat pemberhentian tugas yang telah dikeluarkan, hanya 14,000 daripadanya yang akan menerima tawaran kerja di syarikat baharu di bawah nama MAS NewCo yang diterajui Mueller.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua warga Malaysia Airlines atas sokongan dan sumbangan mereka terhadap syarikat selama ini,” ujar Mueller yang mengakui sedih atas keputusan tersebut.
Mueller dalam sidang media pertamanya itu turut membentangkan pelan strategik merangkumi rangka pemulihan syarikat penerbangan kebanggan negara tersebut.
Bagi fasa pemulihan tahun 2015, MAS NewCo melihat faktor kapasiti iaitu penetapan jumlah kakitangan mengikut saiz operasi.
"Syarikat juga akan mengurangkan punca kerugian selain membuat rundingan dan pelarasan semula kontrak penting," ujar Mueller.
Suasana sewaktu sidang media pertama CEO MAS NewCo Christoph Mueller berkenaan pelan strategik pemulihan MAS di Bangunan Pengurusan MAS, Sepang hari ini. - Foto Astro AWANI/Shafizan Johari
Sementara itu bagi tahun 2016, MAS NewCo akan menjalankan transformasi untuk menjadi lebih berdaya saing dengan operasi lebih mapan.
"Ini termasuk melancarkan projek penambahbaikan dengan lebih daripada 40 projek telah dikenal pasti untuk distruktur semula.
"Semua projek ini memberi impak ke atas setiap aspek operasi syarikat," jelas Mueller.
Dalam tempoh seterusnya iaitu bagi tahun 2017 dan 2018, MAS NewCo dijangka muncul sebagai pendahulu di Asia Tenggara.
Antara yang disasarkan adalah dengan kembali mendapatkan pegangan dalam pasaran melalui beberapa langkah.
Ia dicapai melalui dasar kos yang kompetitif, membentuk jaringan terbaik, kecekapan pengurusan pendapatan serta operasi yang dipacu teknologi industri.
Sebelum ini terdapat khabar angin bahawa MAS akan diambil alih entiti luar negara namun pelan strategik yang diumumkan Mueller menafikan perkara tersebut.