Neoprenre yang lebih dikenali sebagai "scuba" dalam dunia tekstil dan sering digunakan dalam pakaian sukan menjadi bahan uji Eggie yang menjadikan rekaan jaket varsiti dan jersi jenama sukan seperti Adidas dan Nike sebagai inspirasi.
“Sejak zaman belajar lagi, sebagai pelajar fesyen memang kami belajar untuk berani dan mencabar diri mencuba sesuatu yang baru.
“Kerana itu saya mencabar diri saya juga untuk tengok orang suka atau tidak koleksi saya,” ujar Eggie yang ditemui selepas peragaan pertamanya, Koleksi Musim Raya dan Spring/Summer 2015 di ibu negara pada Isnin.
Graduan Kolej Central Saint Martins, London ini menyifatkan percubaan tersebut sebagai proses kreatif dan inovasi artistik falsafah rekaannya agar tampak baru, berani dan sukar dilupakan.
“Sekarang pun dah ramai sangat orang berfesyen pakai blazer tengah panas pun, jadi tahun ini saya ingin cuba sesuatu yang baru.
“Saya rasa koleksi saya sesuai dipakai untuk pelbagai acara dan juga tempat sejuk, bukan hanya masa raya,” tambahnya.
Ditanya mengenai rekaan moden terhadap baju kurung dan baju Melayu yang menerima komen negatif netizen, beliau berkata: “Setiap pereka ada karakter dan keberanian tersendiri.
Eggie Azman bersama peragaan pertamanya, ketika pertujukan fesyen Koleksi Musim Raya dan Spring/Summer 2015 di ibu negara pada Isnin. - Foto Astro AWANI / SHARKAWI SALEHUDDIN
“Seperti saya orang baharu, saya kena teroka dan kena buat sesuatu supaya orang ingat rekaan saya.”
Koleksi Koleksi Musim Raya dan Spring/Summer 2015 Eggie Azman dijual pada harga RM380 hingga RM500.
Ia boleh didapati di butiknya yang terletak di Plaza Damas 3, Jalan Sri Hartamas1, Kuala Lumpur.