Insiden letupan bom di Jakarta pada Khamis dijangka akan membawa kesan berantai yang akan terus mengheret turun bursa dan matawang negara itu, yang sudah pun berprestasi negatif sejak kebelakangan ini.

Menurut Ketua Pakar Ekonomi IQI Holdings Sdn Bhd Shan Saeed, ini kerana kestabilan politik dan kestabilan ekonomi berkait rapat antara satu sama lain.

Beliau berkata insiden ini akan memudaratkan elemen paling penting dalam ekonomi sesebuah negara, iaitu keyakinan pelabur.

“Dua faktor sangat penting, pertama adalah keyakinan dan kedua, ketakutan.


(foto REUTERS/Beawiharta)

Letupan yang dilakukan oleh pihak bukan negera ini akan mewujudkan rasa takut dalam ekonomi, pelabur akan gentar dan akan hilang keyakinan kerana kestabilan politik dan kestabilan ekonomi adalah saling berkait,” tegasnya.

Dalam pada itu beliau juga menambah pada skala lebih makro, ekonomi serantau ASEAN akan turut menerima kesan berantai tersebut bagaimanapun, ianya dijangka hanya bersifat sementara.

“Sentimen kepada rantau ASEAN masih sangat positif dan pasarannya didorong oleh corak kepenggunaan yang kuat.

"Dengan populasi seramai 620 juta orang dan KDNK sebanyak 2.4 trilion dolar Amerika, saya percaya negara-negara di seluruh dunia masih mahu mempunyai hubungan yang kukuh dengan rantau ASEAN dan juga pasarannya,” ujarnya.

Kini, beliau berkata, kerajaan Indonesia berdepan tugas yang lebih sukar untuk mengembalikan keyakinan terhadap ekonomi negara itu dan melonjak semula matawangnya yang berprestasi terburuk di Asia.

“Ya, kejadian hari ini akan terus mengheret turun lagi rupiah Indonesia.
Kerajaan perlu mengembalikan keyakinan secepat mungkin supaya Indonesia akan terus menerima pelaburan.

"Kerajaan perlu mengembalikan keyakinan secepat mungkin supaya Indonesia akan terus menerima pelaburan,” katanya.

Beliau berpendapat meningkatkan pembangunan infrastruktur merupakan antara cara paling berkesan bagi kerajaan Indonesia memulihara keyakinan pelabur terhadap ekonominya.

‘Angkara golongan yang terpesong’

Sementara itu mereka yang terlibat dalam serangan keganasan umpama yang berlaku di Jakarta adalah golongan yang memperjuangkan agenda yang sebenarnya terpesong.

Demikian ujar Penganalisis Politik Dan Keselamatan Antarabangsa Universitas Muhammadiyah Yogyakarta, Profesor Bambang Cipto dalam temubual bersama Astro AWANI.

Beliau menambah, serangan ini jelas merupakan salah satu cara kumpulan militan atau pengganas menujukkan keupayaan mereka.

Sebahagian dari bahan letupan yang dijumpai. Menurut Bambang, ini merupakan salah satu cara kumpulan militan atau pengganas menujukkan keupayaan mereka.
(foto Kompas TV)

“Mereka mahu tunjuk bahawa mereka ada upaya untuk meluaskan kawasan mereka dari Timur Tengah, kemudian masuk ke Turki dan bahkan ke Indonesia.
Kita yang jauh dari konflik di Timur Tengah pun dipaksa menghadapi hal yang sama, ini tidak rasional namanya.

"Tapi ini saya kira orang-orang ini sangat tidak rasional, mereka mempertahan sesuatu yang tidak jelas, sehingga kita yang jauh dari kawasan konflik di Timur Tengah pun harus dipaksa menghadapi hal yang sama yang terjadi di Turki, ini sangat tidak rasional namanya,” keluh beliau.

Sementara itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) Nasharuddin Mat Isa, penting untuk negara terus menerapkan kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan ideologi dan retorik pihak tidak bertanggungjawab.


Jangan mudah kita percaya dengan serangan dalam bentuk pemikiran yang disebarkan di media sosial sekarang ini.
“Kalau terdapat apa saja unsur yang mengarah ke arah keganasan, harus cepat kita ambil tindakan dan laporkan kepada pihak berkuasa, dan jangan mudah kita percaya dengan serangan dalam bentuk pemikiran yang disebarkan di media sosial sekarang ini,” kata beliau.

Sementara itu dalam temubual bersama Astro AWANI, wartawan stesen berita Indonesia Kompas TV, Timothy Marbun merangkumkan menggambarkan situasi pusat bandar di Jakarta itu yang kini lengang.

“Saat ini setakat yang kami ketahui selepas kira-kira satu jam lebih, kawasan Sarinah dan Thamrin sudah dikosongkan.

"Kalau di hari-hari normal, ini adalah jam yang ramai sekali, kita akan melihat ramai sekali masyarakat dan pekerja mahupun mobil dan kenderaan melewati tapi sudah 1 jam sekitar, ianya benar-benar kosong,” lapornya.


(foto REUTERS/Darren Whiteside)
Di hari-hari normal, ini adalah jam yang ramai sekali, kita akan melihat ramai sekali masyarakat dan mobil.

Setakat jam 5.00 petang waktu Malaysia, letupan yang bermula sekitar jam 10.00 pagi waktu tempatan itu diketahui telah mengorbankan 7 nyawa secara keseluruhan.

Sementara itu Timbalan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Roseli Abdul mengesahkan semua pelajar Malaysia yang berada di Jakarta berada dalam keadaan selamat.

Beliau menasihati keluarga yang berada di Malaysia untuk bertenang dan pihaknya akan membawa perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Serangan berkenaan adalah yang terkini di Jakarta selepas insiden pada tahun 2009 yang berlaku di dua hotel utama di bandar tersebut.

Saksikan temubual Astro AWANI bersama Ketua Pakar Ekonomi IQI Holdings Sdn Bhd Shan Saeed mengenai kesan insiden letupan bom di Jakarta dari perspektif ekonomi: