“Kita secara teknikalnya muflis dan prestasi yang merudum telah berlaku sebelum peristiwa tragik sepanjang tahun 2014,” ujar Mueller kepada media, merujuk kepada dua tragedi melibatkan pesawat MAS pada tahun lalu.
Malaysia Airlines mengambil tindakan awal berimpak besar di bawah pengurusan Mueller, apabila daripada 20,000 kakitangan yang diberhentikan hanya 14,000 daripadanya yang diberikan surat tawaran kerja di syarikat baharu.
Dalam sidang media pertamanya itu, beliau secara tidak langsung mengesahkan tentang 6,000 kakitangan MAS yang tidak akan menerima surat tawaran kerja bagi menyertai syarikat MAS NewCo.
Sebelum ini Mueller pernah membuat perubahan drastik bagi mengubah operasi syarikat penerbangan Ireland iaitu Aer Lingus dan syarikat Sabena dari Belgium. Tindakan memberhentikan pekerja telah membuatkan Mueller mendapat jolokan nama ‘The Terminator’.
Untuk masa depan MAS, Mueller membentangkan fasa pemulihan yang bermula pada 1 September nanti dengan imej jenama baharu yang belum didedahkan. Dijangkakan beliau akan mengumumkan suatu perubahan bagi menghapuskan stigma tahun bencana 2014.
BACA: Hanya 14,000 ditawarkan bekerja dengan MAS NewCo - Mueller
Sidang media pelan strategik pemulihan MAS oleh Christoph Mueller berlangsung di Bangunan Pentadbiran MAS di Sepang pada Isnin. - Foto Astro AWANI/Shafizan Johari
Pada Mac tahun lalu, pesawat MH370 telah hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal. Empat bulan selepas itu, pesawat MH17 pula ditembak jatuh di ruang udara Ukraine lantas mengorbankan nyawa 298 orang.Dua tragedi itu merupakan tamparan hebat buat syarikat penerbangan yang menurut analisis memiliki pengurusan yang lemah hingga menjatuhkan prestasinya.
Suntikan dana kerajaan telah dibuat dalam usaha menyelamatkan MAS pada tahun lalu selain melantik Mueller untuk menerajui tugas tersebut.
Mueller berkata, beliau merancang untuk ‘merawat luka’ MAS pada tahun 2015, menstabilkan bisnes pada tahun berikutnya, dan kembali mengalami pertumbuhan pada tahun 2017.
Dalam e-mel yang dihantarkan kepada para pekerjanya bulan lalu, Mueller telah memberi peringatan bahawa perubahan besar perlu dibuat memandangkan syarikat tersebut dibebani paras kos tidak kompetitif yang lebih 20 peratus berbanding pesaingnya.
Selain mengurangkan tenaga kerja, MAS dijangka menghentikan perkhidmatan penerbangan jarak jauh yang tidak mendatangkan keuntungan namun rancangan itu belum dapat diperincikan atas sebab persaingan.
BACA: MyTeksi tawar pekerjaan kepada kakitangan MAS