Identiti syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS) perlu dikekalkan biarpun selepas dijual kelak, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelasnya, kerajaan akan lebih berhati-hati dengan pelan perubahan yang akan dilakukan untuk memperkukuhkan semula MAS itu sendiri.

Tegasnya, kegagalan demi kegagalan diterima walaupun banyak perubahan sebelum ini sudah dibuat terhadap MAS.

"Kali ini kami perlu lebih berhati-hati dengan langkah perubahan yang mahu dilakukan untuk memperkukuhkan semula Malaysia Airlines.

"Ia bukan sekadar perubahan pengurusan, tetapi banyak perkara silap yang telah dilakukan oleh syarikat penerbangan ini perlu diperbetulkan.

"Kami mahu menjual (Malaysia Airlines) tetapi kami mahu mengekalkan identitinya," katanya semasa sidang media selepas menyampaikan ucaptama Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-33 bertajuk "New Malaysia in A Changing Regional Order" di sini, pada Selasa.


Sebelum ini veteran MAS mahu pengurusan syarikat penerbangan itu dirombak selepas gagal mencapai kedudukan ke-20 terbaik pada kaji selidik antarabangsa penerbangan baru-baru ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini berkata, pihak pengurusan MAS bertanggungjawab untuk meneliti pilihan-pilihan tersebut termasuk saranan supaya ia ditutup.

Jelasnya, keputusan yang bakal diambil kelak turut mengambil kita pandangan Dr. Mahathir ketika mesyuarat bersama pengurusan lembaga pengarah Khazanah, baru-baru ini.

Sebelum ini juga, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya tidak berminat untuk mengambil alih operasi MAS.