Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengingatkan masyarakat pelaburan supaya sentiasa berwaspada susulan wujud peningkatan penipuan firma klon.

Badan pengawalseliaan pasaran modal itu berkata firma penipuan terbabit akan menonjolkan syarikat mereka kelihatan sebagai pengantara pasaran modal yang berlesen atau berdaftar dengan SC untuk memperdaya pelabur.

"Penipu berkenaan akan menggunakan nama, logo, bukti kelayakan, laman web dan butiran lain pengantara pasaran modal yang sah untuk mempromosikan skim pelaburan palsu," menurut SC dalam kenyataan pada Jumaat.

Ia berkata promosi itu ditawarkan menerusi saluran media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Twitter dengan menjanjikan pulangan tinggi luar biasa dan sedikit risiko.

"Mangsa penipuan lazimnya diarahkan supaya mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun bank peribadi individu yang mengaku mewakili entiti berlesen yang sah, dan/atau akaun korporat," menurut SC.

Badan itu berkata sebilangan entiti pasaran modal berlesen telah membuat aduan mengenai pengklonan identiti korporat mereka oleh individu atau organisasi yang tidak dikenali.

Mana-mana individu yang terlibat dalam penipuan sekuriti, menyamar sebagai pengantara pasaran modal atau menjalankan aktiviti yang dikawal selia tanpa lesen atau pendaftaran yang sah telah melakukan kesalahan mengikut Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, kata SC.

"Jika disabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda," kata SC.

SC mengingatkan para pelabur supaya sentiasa berwaspada ketika mempertimbangkan peluang pelaburan terutama yang menjanjikan pulangan yang sangat tinggi dengan sedikit atau tanpa risiko.

Pelabur digalakkan untuk mengesahkan status individu atau syarikat yang menawarkan peluang pelaburan menerusi laman web SC di www.sc.com.my/regulation/licensing/licensed-and-registered-persons dan www.sc.com.my/development/digital/list-of-registered-recognized-market-operators.

Orang ramai yang mengesyaki telah didatangi oleh syarikat atau individu tidak berlesen yang menawarkan peluang pelaburan diminta dan boleh membuat laporan kepada Jabatan Pengguna dan Pelabur SC di 03- 6204 8999 atau e-mel kepada [email protected].

-- BERNAMA