Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah mengeluarkan notis penggantungan sementara kepada syarikat penerbangan Rayani Air selama tiga bulan berkuatkuasa hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, tindakan itu dibuat mengikut Peraturan 87 (1) Peraturan Penerbangan Awam 1996.

"DCA menggantung sementara Sijil Pengendalian Udara (AOC) Rayani Air bagi tempoh tiga bulan," katanya dalam sidang media DCA di sini hari ini.

BACA: "Rayani Air akan kembali" - Ravi Alangendrran

BACA: Pekerja Rayani Air resah gaji tertunggak, nasib tidak menentu

BACA: Batal penerbangan, penumpang Rayani Air luah perasaan marah di media sosial

Pada masa yang sama, satu inkuiri pula akan diadakan pada 12 Mei depan.

"Mereka (Rayani Air) perlu memperbaiki sistem perkhidmatan mereka dan jika tidak, mereka akan kekal digantung selepas tempoh 3 bulan itu," jelasnya.


Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut punca sebenar mengapa penggantungan itu dilakukan ke atas Rayani Air.

"Itu saya tidak dapat beritahu kamu (wartawan). Kami telah berbincang mengenai perkara itu dengan syarikat penerbangan itu dan ia terpulang kepada mereka untuk untuk memperbaiki perkhidmatan mereka. Saya tidak akan mengeluarkan kenyataan kenapa kami melakukannya (penggantungan)," katanya lagi.

Tambahnya, secara asas, notis amaran akan dikeluarkan selepas terdapat mana-mana syarikat penerbangan yang gagal mengikuti peraturan ditetapkan.

DCA kemudian akan memberikan nasihat kepada syarikat penerbangan untuk mematuhi peraturan berkenaan dan jika ia masih tidak mampu untuk berbuat demikian tindakan penggantungan akan dilakukan.

Pada Ahad, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan DCA akan menghantar notis penggantungan operasi sementara kepada Rayani Air berkuatkuasa Isnin selepas syarikat itu mengumumkan penggantungan operasi mereka.

Beliau berkata mana-mana syarikat penerbangan tidak sepatutnya menggantung operasi penerbangan mereka tanpa kebenaran DCA.

Ia berikutan sekiranya mana-mana syarikat penerbangan mahu menggantung sesebuah laluan penerbangan , ia perlu membuat permohonan enam bulan lebih awal kepada jabatan itu.

Syarikat penerbangan tambang murah patuh syariah pertama Malaysia itu memaklumkan tentang keputusan menggantung operasinya berkuat kuasa Jumaat lalu bagi rancangan penstrukturan semula perkhidmatannya.