Pasaran getah Malaysia dijangka meneruskan aliran menurun pada minggu depan dalam dagangan sempit berikutan minat belian yang berkurangan, kata peniaga.

Sentimen pasaran dijangka menerima kesan daripada permintaan perlahan dari China, pengguna utama komoditi itu.

"Peserta pasaran getah akan terus berhati-hati dengan pergerakan ringgit, menjelang jangkaan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada bulan depan dan pergerakan harga minyak mentah," katanya kepada Bernama.

Bagi minggu baru berakhir, harga getah yang diniagakan kebanyakannya rendah disebabkan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, kebimbangan yang berterusan terhadap ekonomi China dan harga minyak mentah rendah.

Bagi asas mingguan, pasaran tempatan diniagakan rendah sepanjang minggu ini, dengan harga Lembaga Getah Malaysia pada tengah hari bagi gred tayar SMR 20 susut 27.5 sen kepada 494.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal jatuh 12.5 sen kepada 374.5 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada 5 petang bagi SMR 20 turun 25 sen kepada 522 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan 12 sen kepada 386 sen sekilogram.