Syarikat penerbangan tambang rendah Rayani Air hari ini memohon maaf atas kejadian pembatalan penerbangan dari Langkawi dan Kota Bharu pada 9 Februari.

Siasatan awal syarikat itu mendapati salah satu tingkap pada bahagian kokpit telah retak ketika pesawat (9M-RKA) yang dijadualkan bermalam di Langkawi pada 8 Februari.

"Dalam mengenalpasti punca keretakan, pihak Rayani Air mengambil kira setiap kebarangkalian agar keadaan seperti ini tidak akan berulang lagi," kata bahagian komunikasi korporat syarikat tersebut dalam satu kenyataan.

VIDEO: Lebih 200 penumpang Rayani Air terkandas

BACA: Pesawat Malaysia Airlines Berhad bantu Rayani Air bawa pulang penumpang terkandas

VIDEO: Kemungkinan pesawat disabotaj - CEO


Syarikat itu juga akan menghubungi pihak berkuasa yang berkaitan untuk membantu dalam menyelesaikan situasi yang berlaku.

Bagi penumpang yang ingin memohon bayaran balik atas pembelian tiket, pihak syarikat meminta mereka menghubungi talian perkhidmatan Rayani Air di +603-2721 4925.

Turut dinyatakan dalam kenyataan tersebut bahawa tindakan Rayani Air membatalkan penerbangan terbabit adalah bagi memastikan penumpang diterbangkan dalam keadaan selamat.

"Rayani Air berharap agar penumpang dapat bersabar sementara pihak Rayani Air memperbetulkan keadaan," kata Bahagian Komunikasi Korporat tersebut.