Pesawat Germanwings yang dilaporkan terlibat dalam nahas malam tadi ditemui terhempas di kawasan terpencil di Alps Perancis pada Selasa, lapor AFP.

Kesemua 150 penumpang dan anak kapal disahkan terbunuh.

Antara mangsa yang menaiki pesawat tersebut termasuk 16 remaja bersama dua guru mereka yang terlibat dalam program lawatan sekolah.

germanwings
Paparan skrin AFP TV menunjukkan sebahagian daripada penstabil tegak (vertical stabilizer) pada pesawat Germanwings yang ditemui di lokasi nahas.


Pihak berkuasa penerbangan Perancis berkata mereka terputus hubungan dengan pesawat Germanwings itu pada jam 10.30 pagi (0930 GMT).

Pesawat itu dilaporkan menjunam selama lapan minit tanpa komunikasi radio dari kokpit sebelum terhempas di sisi pergunungan.

Usaha pengawal trafik udara untuk menghubungi juruterbang sebelum itu tidak mendapat sebarang respon.


germanwings


Imej video dari helikopter menunjukkan tompokan salji di kawasan pergunungan tersebut dengan satu jurang curam diliputi serpihan daripada pesawat malang itu.

Seorang ahli Parlimen tempatan Christophe Castaner yang melihat kawasan kejadian berkata dalam Twitternya: "Satu pemandangan yang mengerikan di kawasan pergunungan ini. Tiada apa yang tinggal, hanya serpihan dan mayat manusia. Mengerikan - pesawat itu musnah."

Menteri Luar Jerman Frank-Walter Steinmeier juga menyifatkan nahas tersebut satu "pemandangan ngeri."

"Kita semua bersatu dalam tragedi besar ini," kata menteri itu.

GALERI FOTO: Nahas pesawat Germanwings di Alps Perancis

GALERI FOTO: Nahas pesawat Germanwings 4U 9525

Nahas melibatkan pesawat Airbus A320 kendalian syarikat penerbangan tambang murah Lufthansa di Jerman ini disifatkan paling dahsyat di Perancis dalam beberapa dekad.

Terdahulu, syarikat penerbangan itu telah mengesahkan kejadian tersebut melalui akaun Twitter rasminya dan memaklumkan bahawa talian khas buat keluarga dan waris penumpang dan kru telah disediakan.

Pesawat yang membawa 144 penumpang dan enam anak kapal itu sedang dalam laluan penerbangan antara Barcelona ke Dusseldorf di Jerman.

Pihak berkuasa telah berjaya menemui kotak hitam dari lokasi nahas, namun usaha menyelamat terjejas disebabkan kawasan pergunungan yang berceranggah.

Punca kemalangan masih belum diketahui.

Sementara itu, presiden Perancis semalam menyifatkan nahas pesawat Germanwings itu sebagai satu tragedi.



Dalam reaksi segeranya,Francois Hollande memaklumkan, akan menghubungi canselor Jerman, Angela Markel dalam masa terdekat.

Tegasnya, sebarang perkembangan rasmi mengenai nahas hanya dikeluarkan pihak berkuasa dan akan dimaklumkan terus kepada waris mangsa terlibat.