Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dalam serangan bersenjata di Universiti Bacha Khan, Charsadda di Pakistan pada Rabu.

Dua letupan besar dilapor berlaku dan serangan dipercayai dilakukan oleh lima anggota militan bersenjata.

"Jumlah kematian dalam serangan pengganas meningkat kepada kepada 21," ketua polis wilayah Saeed Wazir memberitahu AFP beberapa jam selepas amaran dikeluarkan.

Menurutnya, operasi tamat dan pasukan keselamatan sedang memantau kawasan berkenaan dengan kebanyakan pelajar ditembak mati di sebuah asrama pelajar lelaki di kampus itu.

"Lebih 30 termasuk pelajar, staf dan pengawal keselamatan cedera," tambahnya.

"Ada lima mayat di depan saya, kesemua mereka mempunyai kesan tembakan," kata pegawai kecemasan Bilal Faiz kepada AFP.


Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Asim Bajwa berkata di Twitter bahawa dua penyerang berjaya ditembak pihak berkuasa.

"Dua daripada lima pengganas yang melepaskan tembakan dari dalam blok dikepung oleh pasukan Tentera Darat telah ditembak dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Polis, tentera dan pasukan khas melancarkan operasi darat dan udara di sekeliling universiti dalam usaha mematahkan serangan tersebut.

Rakaman televisyen turut menunjukkan beberapa pelajar perempuan bertempiaran lari keluar dari kampus universiti.

Salah seorang pelajar universiti berkenaan, Zahoor Ahmed berkata beliau telah cuba untuk meninggalkan asrama selepas mendengar tembakan dilepaskan.

"(Kami) telah dihalang oleh pensyarah kimia kami untuk masuk ke dalam. Beliau memegang pistol di tangannya.

“Kemudian saya nampak pensyarah kami ditembak oleh dua militan. Saya berjaya melarikan diri menggunakan jalan dalam," kata Zahoor.

Berpuluh-puluh pihak berkuasa, helikopter dan ambulans memenuhi tempat kejadian.

Serangan ke atas Universiti Bacha Khan di Charsadda, yang terletak kira-kira 50 kilometer (30 batu) dari bandar Peshawar, merupakan serangan terbaru ke atas rantau militan itu.