DEBAT Presiden Amerika Syarikat yang mempertemukan calon Parti Republikan Donald Trump dan calon parti Demokrat Hillary Clinton mencatat sejarah sebagai debat presiden dengan tontonan tertinggi seramai 84 juta penonton.

Sebagai peminat seni pengucapan awam, saya bukan sahaja mendengar intipati debat tersebut namun turut meneliti taktik yang digunakan kedua-dua calon dalam menarik perhatian penonton.

Empat tip yang sempat saya nukilkan ini boleh digunakan jika anda perlu berhujah di tempat kerja atau terlibat dalam pertandingan debat di peringkat pengajian tinggi atau sekolah, atau dalam komunikasi harian, jika sesuai.

1- Bersedia sebelum mula berdebat

Pada awal debat, Trump menguasai pentas dengan menghentam Clinton dalam aspek ekonomi terutama sekali kegagalan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA).

Calon Republikan juga yakin apabila berbicara dalam bidang kegemarannya iaitu perniagaan. Namun Clinton kembali menguasai debat apabila topik beralih kepada isu perkauman, gender dan dasar luar negara.




Misalnya, ketika moderator debat Lester Holt meminta cadangan untuk menyelesaikan masalah keganasan polis ke atas golongan kulit hitam, Clinton menyenaraikan cadangan seperti memperkemas sistem latihan polis dan mewujudkan garis panduan kebangsaan berkenaan penggunaan kekerasan oleh anggota polis.

Sekalipun cadangan ini tidak terperinci, namun sekurang-kurangnya mantan Wanita Pertama AS itu bersedia memberi gambaran mengenai dasarnya berbanding Trump yang hanya mengulang frasa ‘law and order’ beberapa kali dalam menjawab soalan yang sama.



2- Kenali peribadi pihak lawan dan manipulasi kelemahannya

“Apa khabar Donald?”

Ini ayat pertama Hillary Clinton sebaik sahaja muncul di pentas debat. Sekali imbas, soalan tersebut merupakan sapaan biasa tanpa sebarang makna.

Namun ini antara taktik licik Clinton yang berjaya mengganggu tumpuan Trump sepanjang 90 minit debat berlangsung. Mengapa?

Donald Trump terkenal sebagai jutawan yang sentiasa ingin dipanggil dengan sapaan hormat ‘Mr Trump’ dalam sebarang majlis, tidak kira sama ada dalam kempen, pertandingan Miss Universe, atau rancangan realitinya The Apprentice.

Tindakan menyapa Trump dengan nama pertama secara tersirat mencabar egonya apatah lagi apabila Clinton kekal memanggilnya ‘Donald’ sehingga ke hujung debat walaupun Trump menyapanya dengan panggilan hormat ‘Secretary Clinton’.



3- Biar penonton kenali pihak lawan menerusi kaca mata anda

Seorang pendebat mahir bukan sahaja mampu mematahkan hujah, bahkan ‘mencipta imej’ pihak lawan yang akan dinilai oleh juri atau penonton.

Trump bijak menggambarkan lawannya sebagai bekas Setiausaha Negara yang lemah dengan hujah mudah: Andai Clinton gagal menewaskan DAISH sepanjang kariernya, mengapa perlu peluang kedua diberi kepadanya sebagai Presiden?


Hartawan bernilai AS$4.5 billion (RM18.6 billion) itu juga tidak gentar mengakui bahawa lawannya lebih berpengalaman namun menyifatkan pengalaman calon Demokrat itu sebagai ‘buruk’ dan AS tidak perlu melaluinya sekali lagi empat tahun akan datang.

Clinton juga menggunakan taktik sama dengan memberitahu penonton Trump ‘bertuah’ kerana menerima wang bapanya sebanyak AS$14 juta (RM58 juta) bagi memulakan perniagaan.

Fakta ini mencipta dua gambaran tentang Trump. Pertama, calon Republikan itu berasal daripada keluarga kaya dan tidak memahami kesukaran golongan pekerja. Kedua, Trump bukanlah usahawan hebat yang bermula dengan usaha sendiri.



4- Umpan pihak lawan kemudian serang bertubi-tubi

Apabila debat semakin hampir ke penghujung, Clinton dilihat semakin selesa dan tenang berbanding Trump yang tampak berang dan cuba mempertahankan diri.

Ini kerana Hillary (dan pasukan kempennya) menyediakan ucapan sarat dengan umpan yang diketahui akan menjerat Trump.

Paling jelas, umpan terakhir yang hanya digunakan oleh Clinton ketika moderator debat mengemukakan beberapa soalan terakhir:

Clinton: Donald gelarkan seorang peserta ratu cantik ‘Miss Piggy’. Kemudian dia guna gelaran ‘Miss Housekeeping’ kerana peserta itu berbangsa Latin. Donald, dia ada nama.

Trump: Dari mana kamu dapat semua ini?

Clinton: Namanya Alicia Machado.

Trump: Dari mana kamu dapat semua ini?


Jawapan Trump menggambarkan kemarahan dan kekeliruannya. Lebih parah, serangan Clinton tidak terhenti di situ.

Rupa-rupanya saluran YouTube bagi kempen Clinton, The Briefing sudah pun menyediakan video kempen yang menampilkan Alicia Machado dengan pendedahannya mengenai sikap seksis Trump ketika mengendalikan Miss Universe.

Selepas ini, ada dua lagi sesi debat yang perlu diharungi oleh Trump dan Clinton sebelum rakyat Amerika Syarikat membuang undi 8 November ini.


*Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI