CHIANG Mai diselubungi jerebu. Ia legap, menekan dan menyesakkan.

Tanpa ufuk. Udaranya kekuningan dan amat jauh sekali daripada tahap kesihatan yang boleh diterima: akibat daripada pembakaran hutan dan amalan pertanian tempatan berupa tebang dan bakar, bertembung pula dengan El Nino, suatu fenomena cuaca global.

Tetapi, mutu udara yang tidak sihat itu - terdahulu tahun ini, Bangkok diselubungi pencemaran sama - hanya menjadikannya sepadan dengan kekeliruan dan ketidaktentuan yang menyelubungi pilihan raya Thailand yang dipertandingkan buat pertama kali sejak lebih lapan tahun lalu.

"Kita kesemuanya kecewa tetapi tidak ada apa yang kita boleh lakukan." Thitima Pitivarawong - seorang tutor berusia 30 tahun dari bandar raya yang terletak di utara itu - berasa gundah gulana ketika bercakap mengenai pilihan raya 24 Mac 2019."

Dan ia bukanlah seolah-olah keputusan pilihan raya ini tidak dijangkakan.

Prayuth Chan-o-Cha, jeneral yang kemudiannya menjadi pemimpin junta, telah membincangkan dan merancang untuk mengembalikan demokrasi dan pemerintahan awam sejak detik beliau merampas kuasa pada 2014 lalu selepas menggulingkan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra - adik perempuan Thaksin Shinawatra yang telah digulingkan 13 tahun dulu pada 2006.

Perlembagaan telah dipinda dan peraturan pilihan raya diubah. Kesemua ini adalah baik, kecuali hasilnya tidak berupa suatu mandat pilihan raya yang kuat.

Pilihan raya Thailand berlangsung pada 24 Mac 2019. Keputusannya tidak mengejutkan. Chiang Rai Times/Ceritalah

Sebaliknya, ia adalah suatu sandiwara - dari ketua Suruhanjaya Pilihan Raya meminta kalkulator dalam siaran langsung di TV, kepada penangguhan yang berulang kali serta tuduhan berlakunya penyelewengan undi.

Masalah utamanya mudah.

Jeneral Prayuth dan pendokong-pendokongnya gagal memahami erti demokrasi.

Biar saya jelaskan konsep ini. Lagipun, kita semua di Asia telah bergelut dengannya, tidak ada yang berjaya, dalam hal menentukan segala yang dimaksudkan dengan demokrasi dan bukan demokrasi.

Rakyat Malaysia, sebagai contoh, hanyalah orang yang baharu mahukan demokrasi, itupun kurang setahun lamanya.

Beginilah: demokrasi bermaksud kerajaan oleh rakyat, yang mana kuasa kedaulatan terletak pada penduduk yang mengundi.

Sekarang, kuasa ini boleh digunakan secara langsung (seperti yang berlaku di Athens dan Thebes ribuan tahun dahulu) atau oleh wakil-wakil yang dipilih. Di sinilah di mana proses pilihan raya - terutama keadilannya dan kewibawaannya - menjadi kritikal.

Itthiporn Boonprakong, pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, telah dikritik teruk. Thai Visa Forum/Ceritalah

Ia sesuatu yang amat jelas jika anda memikirkan mengenainya.

Bagaimanapun, bagi Jeneral Prayuth, pilihan raya ini bukan mengenai memperkenalkan semula demokrasi, tetapi lebih kepada usaha untuk menghalang keluarga Shinawatra dan sekutu-sekutunya.

Saya bukanlah peminat bekas Perdana Menteri itu - beliau memegang jawatan itu ketika berlaku pembunuhan beramai-ramai Tak Bai pada 2004 - tetapi selagi mana beliau kekal menjadi tokoh paling popular negara itu, sebarang usaha untuk "kembali" kepada demokrasi akan berkaitan dengan plutokrat yang berpangkalan di Dubai itu.

Ini membawa kepada persoalan: mengapa perlu pedulikan keseluruhan pelaksanaan itu jika anda tidak komited terhadap prinsip-prinsip yang menjadi dasarnya? Mengapa menaikkan harapan orang ramai yang kamu tidak dapat penuhi? Mengapa tidak diteruskan saja junta tentera selamanya?

Jeneral Prayuth Chan-o-Cha bersikap defensif. Nikkei Asian Review/Ceritalah

Tentunya terdapat banyak faktor lain.

Antaranya ialah adanya raja baharu, Raja Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun yang pertabalannya dijadual berlangsung awal bulan depan.

Raja Bhumipol Adulyadej, mendiang bapanya, memerintah lebih 70 tahun, menjadi seorang raja yang amat disayangi dan dihormati. Difahamkan, puteranya mahu melihat negara itu kembali kepada demokrasi.

Tetapi demokrasi boleh jadi tidak bertimbang rasa dan pada masa sama, tidak menentu. Rancangan yang diatur rapi tidak selalunya dapat terlaksana - terutamanya apabila ia bertembung dengan realiti.

Jadi, apakah yang akan berlaku selepas ini? Adakah Thailand yang bermajoritikan penganut agama Buddha itu akan terperangkap ke dalam kitaran rampasan kuasa yang tidak berkesudahan (19 sejak 1932)?

Bolehkah kitaran ini dihentikan?

Adalah jelas bahawa junta ini kini berada dalam keadaan defensif walaupun telah mengubah hampir kesemua peraturan pilihan raya supaya keputusannya memihak kepada mereka.

Rampasan kuasa Thailand yang lalu membolehkan elit-elit untuk bergabung semula, kerana negara ini pada asasnya melakukan suatu "penetapan semula yang tegas."

Thailand berusaha gigih untuk menampung kejatuhan harga getah. Bangkok Post/Ceritalah

Kuasa untuk sementara waktu berada di tangan penentu yang berkecuali (istana diraja, tentera, kehakiman dan perkhidmatan awam), sementara ahli politik terpaksa menunggu sehingga pemerintahan awam dikembalikan.

Tetapi apa yang telah berubah kali ini ialah, kebencian elit Bangkok terhadap keluarga Shinawatra menjadikan mereka tidak lagi boleh muncul sebagai penentu yang jujur.

Mereka kini terlibat secara langsung: pemain politik tidak lagi berusaha mahukan "reformasi" demokrasi Thailand atau menutup jurang sosio-ekonomi antara Bangkok, wilayah selatan dan wilayah utara serta timur laut yang pro-Thaksin.

Matlamat mereka ialah hanya untuk menghalang Thaksin dan sekutu-sekutunya daripada memperoleh kuasa dengan apa cara sekalipun, walau apa jua akibatnya kepada negara dan integriti institusi-institusinya.

Sementara itu, ekonominya sedang membeku.

Menurut Bank Dunia, kadar pertumbuhan Thailand berada pada sekitar 3-4 peratus sejak beberapa tahun lalu, amat jauh daripada 4-7 peratus yang dinikmatinya ketika Thaksin menjadi perdana menteri.

Parti Maju Masa Depan dan pemimpinnya Thanathorn Juangroongruangkit berjaya menarik imaginasi rakyat. Washington Post/Ceritalah

Kegagalan dalam menanggung akibat daripada kejatuhan harga getah (yang jatuh mendadak dari USD6.26 sekilogram pada Februari 2011 ke USD1.65 pada Februari 2019) bermakna kesusahan para petani, yang mendorong pengundi menyokong Thaksin pada awal dahulu, masih tidak dapat diselesaikan, malahan bertambah buruk.

Lagipun, kebangkitan Thanathorn Juangroongruangkit (atau "Ake") dari Parti Maju Masa Depan (dengan rancangannya hendak memotong perbelanjaan ketenteraan dan mengurangkan ketidaksetaraan pendapatan) menunjukkan bahawa tokoh bukan kerabat akan terus menarik imaginasi orang awam walaupun selepas Thaksin semakin jauh daripada pentas politik.

Adalah jelas bahawa Thailand memerlukan sesuatu yang lebih lagi untuk mengikatnya dengan satu sama lain, melangkaui idea lama Negara-Agama-Raja.

Suatu kompromi diperlukan antara kumpulan-kumpulan Thailand yang kuat perpecahannya. Bilionair berwajah segar Ake, dengan sokongan kuat generasi muda yang mengejutkan, mesti memainkan peranan utama untuk membawa negara itu ke depan dan memasuki dunia realpolitik.

Sekali lagi, seseorang tidak dapat menahan diri daripada terpukau dengan perlambangan malang jerebu dari utara itu.

Seperti langit di Chiang Mai, masa depan Thailand, malangnya semakin kabur.



* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.