Kerajaan China pada Ahad melaporkan angka harian tertinggi kes COVID-19 dalam tempoh dua bulan selepas penutupan pasar borong terbesar yang menyebabkan penularan virus itu kembali menjangkiti warga tempatan di negara itu.

Lapor Suruhanjaya Kesihatan Nasional negara itu, seramai 57 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam pada tengah malam Sabtu, sekali gus menjadikan ia angka tertinggi jangkitan virus berkenaan sejak pertengahan April lalu.

Catatan angka kes baharu tersebut juga menunjukkan virus tersebut boleh kembali menular ketika kerja-kerja pengawalan jangkitan mula diperlahankan.

Sabtu lalu, pasar Xinfadi di bahagian tenggara Beijing dan kawasan perumahan berdekatan dilaporkan ditutup setelah lebih 50 individu diuji positif COVID-19.

Pasar borong besar di Beijing ditutup susulan kes baharu COVID-19


Pihak berkuasa seterusnya bertindak menutup 11 komuniti kediaman berhampiran pasar tersebut dan polis juga dilapor telah memasang pagar bagi kerja-kerja penutupan jalan.

Ia merupakan kes jangkitan pertama direkodkan dalam tempoh 50 hari di bandar yang berkapasiti 20 juta orang itu.

Terdahulu, China telah melonggarkan beberapa selepas negara itu mengisytiharkan kemenangan menentang virus berkenaan pada bulan Mac lalu.