Australia mengesahkan sebanyak 16 kematian dan 279 kes baharu COVID-19 direkodkan di Victoria, pada Ahad.

Ketua Menterinya, Daniel Andrews berkata, jumlah itu bagaimanapun menunjukkan penurunan sejak beberapa minggu lalu.

"Kematian terbaharu membabitkan mereka yang berusia 70 hingga 90 tahun dan 11 daripadanya tinggal di pusat jagaan orang tua," katanya yang dipetik AP.

Sehubungan itu, Andrews berkata, pasukan pakar perubatan dikerahkan ke pusat jagaan orang tua berkenaan untuk memutuskan rantaian jangkitan daripada merebak.

Beliau optimis perintah berkurung lebih ketat yang dikenakan di Melbourne menjadi antara langkah tepat dalam meratakan lekuk jangkitan COVID-19.