Ketika kebanyakan dunia mengambil langkah Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19, Perancis juga mengambil pendekatan sama.

Namun, langkah yang kebanyakannya menggesa orang ramai untuk kekal duduk di dalam rumah itu mendatangkan kebaikan buat penduduk di salah sebuah bandar popular negara itu di Paris.

Memetik laporan Reuters, rakyat Paris kini berpeluang untuk menghirup udara segar sambil mendengar burung berkicauan dan mendapatkan tidur yang lena ketika kekal duduk di rumah.

Ini kerana pencemaran udara dan bunyi berkurangan secara drastik di Paris yang kini sepi berbanding beberapa bulan lalu.

Pasti ramai yang sedia maklum tentang kesibukan di bandar itu ditambah dengan kesesakan lalu lintas terutamanya di kawasan tumpuan pelancongan seperti Menara Eiffel dan Arc de Triomphe.

  Siapa yang tidak tahu tentang kesibukan di bandar itu ditambah dengan kesesakan lalu lintas terutamanya di kawasan tumpuan pelancongan seperti Menara Eiffel dan Arc de Triomphe. Foto: Reuters

Namun, sejak perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan sejak Selasa lau, tiada kesesakan lalu lintas yang menyebabkan bunyi bising dan tiada pembinaan bangunan dijalankan sehingga menyebabkan debu berterbangan.

Malah dua lapangan terbang antarabangsa di bandar itu juga ditutup dan sebarang perkhidmatan awam dihentikan.

Menurut Ketua Agensi Airparif, Karine Leger, bandar itu kini menyaksikan kualiti udara yang lebih baik yang turut menyumbang kepada penambahbaikan pada krisis pemanasan global.


Berita baik itu pastinya menggembirakan hati penduduk tempatan antaranya bagi Mehdi Thorin.

“Keadaan sangat tenang ketika ini, dan saya amat menyenangi ketenangan itu di Paris.

“Namun, saya menjangkakan keadaan tenang ini tidak akan kekal lama terutamanya selepas perintah kawalan pergerakan berakhir.

“Orang ramai akan kembali melakukan rutin harian dan keadaan akan kembali seperti dahulu,” ujarnya.