Demikian pendapat wartawan Korea Times, Damin Jung selepas Korea Selatan dilihat menjadi negara contoh yang berjaya meleperkan keluk jangkitan COVID-19 tanpa perlu mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan atau lockdown.
“Dalam usaha sesebuah negara termasuk Malaysia untuk mengawal pandemik COVID-19, adalah penting untuk memastikan rakyat mendapat maklumat yang cukup berhubung penularan wabak tersebut.
“Selain itu, langkah pencegahan dengan kerjasama kerajaan dan organisasi swasta (juga penting) untuk melawan virus tersebut.
“Jadi, saya fikir itu yang menjadikan kerajaan Korea Selatan berjaya lakukannya dengan baik,” katanya menyuarakan pendapat peribadinya ketika dihubungi Astro AWANI menerusi aplikasi Skype pada Jumaat.
Terdahulu, negara yang mempunyai populasi lebih 51 juta itu dilihat cukup bersedia dalam menghadapi pandemik COVID-19 selepas berjaya menggunakan kelebihan teknologi dimiliki mereka.
Platform analisis Big Data dan kecerdasan buatan (AI) menyaksikan Korea Selatan mampu mengawal penularan COVID-19 dalam masa yang singkat, selain kemudahan pusat saringan pandu-lalu.
Korea Selatan telah menyaring lebih daripada 270,000 orang, satu jumlah yang besar berbanding negara lain.