Singapura akan menutup sementara kesemua 70 masjid di republik itu mulai hari ini selama lima hari bagi kerja-kerja pembersihan dan penyahjangkitan, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Dalam kenyataan pada Khamis, MUIS juga memaklumkan tiada solat Jumaat hari ini di semua masjid.

Langkah itu diambil berikutan dua jemaah tabligh warga Singapura disahkan positif COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura.

Dua jemaah tersebut merupakan antara 90 warga Singapura yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur, dari 27 Feb hingga 1 Mac lalu.

MUIS berkata ia difahamkan bahawa individu yang disahkan positif COVID-19 tersebut mungkin sering berkunjung ke masjid di sini sejak pulang dari Kuala Lumpur.

Justeru, langkah diperlukan bagi mengelak masjid sebagai kluster terbesar jangkitan koronavirus tersebut, menurut kenyataan tersebut.

Menurut majlis itu, setakat jam 1 tengah hari Khamis, sebanyak empat masjid ditutup iaitu Masjid Muttaqin, Masjid Kassim, Masjid Hajjah Fatimah dan Masjid Jamae Chulia.

Selain itu, semua aktiviti di masjid termasuk ceramah, kelas keagamaan, kuliah dan tadika di masjid dibatalkan selama dua minggu dari 13 Mac hingga 27 Mac.

-- BERNAMA