Dron milik polis bukan penyebab kepada tragedi helikopter terhempas yang mengorbankan pengerusi dan pemilik kelab Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha.

Polis Leicestershire berkata, siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu masih diteruskan ketika ini.

"Dron berkenaan tidak diterbangkan ketika helicopter berkenaan meninggalkan stadium.

"Ia (dron) diturunkan di parkir kereta di bahagian luar selepas pukul 7.30 malam, setengah jam selepas perlawanan itu berakhir," katanya memetik laporan Reuters, pada Isnin.

Vichai disahkan antara lima mangsa terbunuh dalam nahas helikopter di tempat letak kereta bersebelahan Stadium King Power sejurus berlepas ketika tamat perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang West Ham United, pada Ahad.

Polis turut mengesahkan mangsa lain yang terlibat dalam nahas itu adalah Izabela Roza Lechowiczas, Nursara Suknamai, Kaveporn Punpare, dan juruterbang Eric Swaffer.


Pembuat helikopter berkenaan yang berasal dari Itali, Leonardo SpA turut menyatakan kesediaan memberi kerjasama bagi membantu sisasatan nahas itu.

Sementara itu, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) berkata, pihaknya telah memperoleh kotak hitam helikopter tersebut dan akan terus berada di situ selama seminggu sebelum memindahkan bangkai helikopter tersebut ke Farnborough.

"Hari ini, pegawai kami di Farnborough akan mulakan siasatan kotak hitam helikopter itu,” kata kenyataan daripada biro yang menyiasat semua kemalangan melibatkan pesawat awam di Britain.

Keluarga Vichai termasuk isteri dan anaknya tiba di stadium pada Isnin untuk meletakkan bunga sebagai penghormatan terakhir yang turut disertai ribuan peminat kelab bola sepak itu.


Beratus skaf, jersi dan mesej juga dapat dilihat daripada peminat bagi mengingati Vichai yang mengambil alih kelab tersebut sejak 2010 dan membawa kebangkitan kelab itu sehingga menjulang Piala Liga Perdana Inggeris pada 2016.

Ia turut disertai pemain dan kakitangan dari kelab itu.

Skuad utama kelab itu mempunyai sesi latihan pendek pada awal pagi Isnin, namun perlawanan pusingan keempat Piala Liga menentang Southhampton yang dijadualkan pada Selasa di stadium berkenaan ditangguh kerana tragedi tersebut.