Penemuan mayat kanak-kanak lelaki warga Syria, Alan Kurdi, 2, yang ditemui terdampar di pantai Bodrum, Turki pada September tahun lalu, memberikan gambaran kesukaran serta penderitaan yang perlu diharungi pelarian Syria ketika ini.

Tragedi itu menggemparkan masyarakat dunia, menjadi petanda pilu bahawa sesuatu perlu dilakukan bagi meredakan kesengsaraan mereka.

Pergolakan serta konflik perang di Syria yang kian meruncing sejak akhir-akhir ini juga menyaksikan ratusan ribu rakyatnya menjadi pelarian.

Kebanyakan mereka sehingga ke hari ini masih lagi menanti dalam ketidakpastian serta menderita tanpa sebarang pembelaan.

BACA: Alan Kurdi dikenang menerusi lukisan menyayat hati

FOTO: Kanak-kanak Syria mati lemas: Mengapa imej-imej ini mampu menghantui warga dunia

Terpanggil untuk melakukan sesuatu, dua ibu tunggal, Azura Ibrahim, 44, dan Zaleha Ahmad, 64, nekad ke Kepulauan Lesvos, Greece untuk menawarkan diri sebagai sukarelawan bagi membantu pelarian Syria di sana.

Berbekalkan pengalaman sebagai sukarelawan bersama pertubuhan kemanusiaan Mercy Malaysia, kedua-dua mereka benar-benar tersentuh melihat tragedi dan keperitan yang dilalui pelarian Syria.

Lalu perancangan mereka untuk bercuti bersama di luar negara, bertukar menjadi misi sukarelawan.

Tahu bahawa sukar untuk bertindak sebagai sukarelawan tanpa dinaungi mana-mana NGO, Azura menyatakan adalah lebih bebas bagi dia dan Zaleha untuk menyertai mana-mana kumpulan sukarelawan yang benar-benar memerlukan bantuan di sana kelak.

"Kadangkala setiap NGO itu sudah mempunyai tugasan spesifik yang menyukarkan kita untuk melakukan lebih dari yang kita perlu. Tapi apabila kita datang secara sendiri, kita bebas untuk menghulurkan tenaga, masa serta usaha kita bagi mencukupkan keperluan yang mendesak," jelas Azura.

Azura Ibrahim dan Zaleha Ahmad ditemuramah penulis sebelum berlepas ke Greece pada Ahad. - Foto Astro AWANI/Nurulhana Ismail

Usaha murni kedua wanita cekal ini juga disokong ahli keluarga masing-masing.

"Anak saya yang menaja tiket penerbangan, baru 23 tahun dan masih belajar di UniKL," kata Zaleha yang nyata amat bersyukur dengan sokongan ahli keluarga yang membantu menanggung kos perbelanjaan misinya.

Lebih menggembirakan lagi, setakat hari ini, mereka berdua berjaya mengumpul dana dari rakan-rakan serta orang ramai melalui posting di media sosial - Facebook masing-masing sebanyak RM17,000 bagi membeli barang-barang keperluan pelarian di sana kelak.

Biarpun suhu agak sejuk dan persekitaran yang bukan mudah untuk mereka nanti, kedua-dua wanita ini kelihatan sangat teruja kerana benar-benar ingin melakukan sedaya mungkin untuk membantu pelarian yang menderita tiada berpenghujung.

Bagi mereka, ia adalah peluang untuk menjadi sebahagian dari lakaran sejarah serta menggalakkan mereka yang berkeupayaan agar melakukan apa yang termampu untuk golongan-golongan yang kurang bernasib baik, tidak mengira bangsa, kepercayaan, tempat mahupun waktu.

Menurut data dikeluarkan Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan pelarian (UNHCR) setakat awal Januari 2016, 10,000 pelarian tiba melalui Lautan Aegean ke Pulau Lesvos dan 39 kematian atau kehilangan dicatatkan, dengan angka terbabit dijangka terus meningkat.

Bagi mereka yang ingin terus mengikuti perkembangan pasangan ibu tunggal yang berjiwa besar ini dalam misi kemanusiaan mereka, bolehlah mengikuti laman Facebook mereka - Two Malaysian Moms On Mission To Lesvos atau layari laman sesawang UNHCR.


BACA: Keindahan Syria yang mungkin tidak dapat kita lihat lagi