Hampir dua juta orang mengambil bahagian dalam rapat umum besar-besaran di Hong Kong bagi menentang rang undang-undang ekstradisi yang menimbulkan kontroversi di wilayah itu, menurut penganjur.

Ini menjadikannya tunjuk perasaan terbesar dalam sejarah Hong Kong. Namun pihak polis menepis dakwaan penganjur itu dan menyatakan ia hanya disertai 338,000 penduduk.

Tunjuk perasaan itu masih diadakan walaupun pelaksanaan rang udang-udang tersebut - yang akan membolehkan penduduk Hong Kong diekstradisi ke tanah besar China - telah ditangguhkan pada Sabtu.

Pada Ahad, Ketua Eksekutif Carrie Lam turut meminta maaf kerana mencadangkan rang undang-undang itu.

Kebanyakan penunjuk perasaan, yang khuatir ia akan menambah pengaruh China ke atas Hong Kong, mendesak Lam untuk meletak jawatan.

Mereka juga mahu rang undang-undang tersebut dibatalkan terus dan bukan sekadar ditangguhkan.

"Tunjuk perasaan hari ini disertai hampir dua juta orang," kata Jimmy Sham dari kumpulan Civil Human Rights Front lewat Ahad.

Namun tunjuk perasaan tersebut dijalankan secara aman dan pihak polis dilihat membenarkan mereka menyusuri jalan-jalan utama Hong Kong tanpa halangan.




Ini berbeza dengan tunjuk perasaan pada Rabu yang menyaksikan beberapa pertempuran antara orang ramai dan pihak polis. Puluhan orang dilaporkan cedera dalam insiden tersebut.

Tunjuk perasaan itu bermula di Dataran Victoria dan ramai dilihat memakai baju hitam.


Orang ramai yang sertai rapat umum di Hong Kong membawa bersama bunga putih bagi memperingati penunjuk perasaan yang maut pada Sabtu. - Foto AP/Kin Cheung

Kebanyakan mereka turut mengenakan bunga putih pada baju bagi memperingati seorang tunjuk perasaan yang meninggal dunia pada Sabtu.

Dia dilaporkan terjatuh dari tingkap sebuah bangunan selepas cuba memasang sepanduk anti ekstradisi.