Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, menuntut supaya Amerika Syarikat mengekstradisi intelektual Islam Fethullah Gulen, yang didakwa dalang cubaan rampasan kuasa pada Sabtu.

Tegas Erdogan, permohonan Ankara perlu dipertimbangkan Washington berdasarkan hubungan strategik kedua-dua negara.

Kerajaan pimpinan Erdogan mendakwa Gulen, yang hidup dalam buangan di Pennsylvania sejak 1999, sebagai individu yang merancang rampasan kuasa itu.

BACA: Siapa Fethullah Gulen?


Washington dalam pada itu memaklumkan sedia memproses permohonan Ankara untuk mengekstradisi Gulen.

Setiausaha Negara Amerika, John Kerry bagaimanapun memaklumkan Turki perlu mengemukakan bukti kukuh berhubung penglibatan Gulen dalam rampasan kuasa.

Menurut Kerry, negara itu sedia menyokong proses siasatan berdasarkan undang-undang dan sedia membantu Turki berhubung permohonan ekstradisinya.

Sementara itu Gullen menafikan tuduhan Erdogan ke atasnya.

Kata Gullen selaku individu yang melalui beberapa rampasan kuasa, tuduhan beliau jadi dalang insiden pada Sabtu adalah tidak dapat diterima.