Kesilapan itu berlaku pada hari kedua kunjungannya ke Naypyidaw di mana Jinping dan Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi menandatangani lebih 12 perjanjian meliputi rancangan infrastruktur yang disokong Beijing.
Kenyataan mengenai kunjungan Presiden itu diterbitkan di laman Facebook rasmi Suu Kyi dan memaparkan nama Xi Jinping sebagai Shithole apabila ia diterjemahkan daripada bahasa Myanmar kepada bahasa Inggeris.
Selain itu, tajuk utama dalam jurnal berita tempatan Irrawaddy turut ditulis sebagai 'Penghormatan makan malam presiden shithole'.
"Kami telah menyelesaikan isu teknikal yang menyebabkan terjemahan tidak tepat di Facebook. Ia tidak sepatutnya berlaku dan pihak kami akan mengambil langkah bagi memastikan ia tidak berulang. Kami memohon maaf di atas segala kesulitan," kata Facebook dalam satu kenyataan.
Syarikat itu menjelaskan, nama Jinping tidak terdapat dalam pangkalan data bahasa Myanmar dan sistem sedia ada membuat andaian dengan menggantikannya dengan perkataan hampir sama.
Pemeriksaan terjemahan perkataan serupa yang bermula dengan 'xi' adalah 'shi' dalam bahasa Myanmar dan ia membawa maksud shithole.
Pada 2018, Facebook menarik balik sementara terjemahan bahasa Myanmar selepas laporan agensi berita Reuters menunjukkan fungsi itu menghasilkan keputusan yang pelik. - Agensi