Ini disahkan oleh Narongsak Osottanakorn, bekas gabenor Chiang Rai yang juga merupakan ketua misi menyelamat operasi tersebut.
Menurut beliau, mangsa pertama yang dikeluarkan merupakan yang paling lemah antara 12 remaja yang terperangkap bersama jurulatih pasukan bola sepak mereka sejak 23 Jun lalu.
"Waktu yang paling kritikal dalam misi ini ialah apabila hujan turun semula dan menyebabkan kami mempunyai masa yang terhad.
"Paras oksigen yang makin berkurangan juga menjadi cabaran utama," katanya pada sidang media di tapak operasi berkenaan.
Susulan itu, Narongsak menambah, misi SAR terpaksa ditangguhkan kerana pasukan penyelamat memerlukan sekurang-kurangnya 10 jam untuk membuat persiapan bagi operasi seterusnya.
Sebelum ini, media melaporkan enam mangsa berjaya dikeluarkan tetapi Narongsak mengesahkan hanya empat yang selamat dibawa keluar setakat ini.
Terdahulu, dua mangsa pertama dilaporkan dikeluarkan sekitar jam 6 petang waktu tempatan (7 petang waktu Malaysia).
Salah seorang daripada mereka dikenal pasti sebagai Mongkol Boonpiem, 13 tahun, manakala seorang lagi belum didedahkan namanya.
Kedua-dua mangsa menjalani pemeriksaan fizikal di hospital lapangan berdekatan gua tersebut, sebelum dipindahkan ke Hospital Chiang Rai menggunakan helikopter tentera Thailand.
"Kami menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas mereka sebelum mereka dipindahkan ke Hospital Chiang Rai," kata Ketua Jabatan Kesihatan Chiang Rai, Tossathep Boonthong, memetik laporan Reuters.
Mangsa ketiga pula dilaporkan dikeluarkan dari gua tersebut pada jam 7.15 malam waktu tempatan manakala mangsa keempat dikeluarkan dalam 30 minit kemudian.
Buat masa ini, identiti mangsa ketiga dan keempat masih belum didedahkan.
Pihak berkuasa di wilayah utara Chiang Rai memulakan misi berbahaya untuk membawa keluar 12 remaja terbabit dan jurulatih pasukan bola sepak sekolah mereka selepas kumpulan itu terperangkap di dalam gua tersebut sejak lebih dua minggu lalu.
Difahamkan, para remaja yang berusia antara 11 tahun dan 16 tahun itu ke kawasan tersebut bersama jurulatih mereka, 25 tahun, kerana hendak berkelah sambil meneroka kawasan gua tersebut bagi menyambut hari kelahiran salah seorang daripada mereka.
Sementara itu, wartawan antarabangsa yang berpangkalan di Bangkok, Florian Witulski telah berkongsi beberapa maklumat mengenai operasi berkenaan.
Menurut Witulski, seorang doktor warga Australia memutuskan untuk membawa remaja yang mempunyai kondisi paling lemah untuk keluar terlebih dahulu.
BACA: Gua Tham Luang: Ini cabaran yang harus dilalui pasukan penyelam
BACA: Kronologi remaja Thailand sesat di gua
BACA: Operasi mengeluarkan mangsa gua Tham Luang dimulakan
BACA: Elon Musk bina 'kapal selam' untuk mangsa gua Thailand