WILAYAH pentadbiran khas China, Hong Kong, akan mengakhiri tahun 2019 dengan siri protes menjelang ambang tahun baharu dan pada hari pertama tahun 2020.

Semua itu bakal mengekang sambutan keraian dan aktiviti beli-belah di bandar raya hab kewangan Asia tersebut, dan seterusnya menyaksikan peningkatan pertembungan antara pihak polis dan peserta protes sejak Krismas lalu.

Demonstrasi yang dijadual berlangsung pada Selasa itu dijangka mengambil tempat di kawasan Lan Kwai Fong, Victoria Harbour dan pusat beli-belah popular.

Pada 1 Januari nanti, perarakan pro-demokrasi telah mendapat permit polis dan akan bermula di sebuah taman awam di Causeway Bay dan berakhir di kawasan pusat perniagaan di tengah-tengah bandar raya itu.

Penganjur Civil Human Rights Front bertanggungjawab di sebalik penganjuran perarakan aman yang disertai lebih sejuta peserta pada Jun, selain protes besar-besaran pada awal Disember yang dilaporkan disertai sekitar 800,000 orang.

"Pada tahun baharu, kita perlu tunjukkan solidariti kita untuk menentang pemerintah. Kami berharap rakyat Hong Kong akan turun ke jalanan demi masa depan Hong Kong,” ujar ketua kumpulan, Jimmy Sham.

Protes itu bermula Jun lalu sebagai tindak balas terhadap undang-undang ekstradisi ke tanah besar China yang tidak dimansuhkan.

Di China, mereka mendakwa mahkamah dikawal oleh Parti Komunis.

Polis berkata mereka akan menempatkan anggota untuk mengawal peserta demonstrasi pada Selasa, dan menyeru peserta supaya menjaga keamanan pada Rabu.



Demonstrasi yang dirancang pada tahun baharu itu adalah susulan kekecohan pada malam Krismas lalu, apabila polis rusuhan menembakkan gas pemedih mata ke atas ribuan peserta protes selepas insiden pergaduhan di kompleks beli-belah dan kawasan pelancongan utama.

Sementara protes yang masuk bulan ketujuh itu telah dilihat berkurangan dari segi jumlah pesertanya dalam beberapa minggu kebelakangan ini, perarakan dan perhimpunan pula berlangsung hampir setiap hari.

Ratusan orang berkumpul di tengah bandar raya itu pada Isnin malam untuk memperingati mereka yang terkorban atau cedera sepanjang protes berkenaan.

Lebih daripada 2,000 penunjuk perasaan cedera sejak Jun lepas.

Sementara tiada bilangan rasmi kematian, seorang pelajar Chow Tsz-Lok dilaporkan mati selepas terjatuh dari tempat tinggi semasa perarakan pro-demokrasi pada November. Beberapa aksi bunuh diri juga dikaitkan dengan gerakan protes tersebut.

"Bagi kebanyakan rakyat Hong Kong, Krismas dan tahun baharu tidak memberi sebarang erti lagi bagi kami. Apa yang kami perjuangkan adalah masa depan kami,” ujar Roger Mak, 35, yang menyertai protes pada Isnin.

Polis telah menahan 34 orang minggu lalu dan menggunakan penyembur lada untuk menyuraikan perhimpunan yang menyasarkan perniagaan runcit berdekatan sempadan tanah besar China.

Lebih daripada 6,000 peserta protes telah ditangkap sejak bantahan terhadap undang-undang ekstradisi, yang dilihat sebagai campur tangan Beijing sejak Britain memulangkan pentadbiran Hong Kong kepada China pada 1997.

China bagaimanapun menafikan dakwaan itu, dan berkata ia formula ‘satu negara, dua sistem’ masih digunakan.

China malah menyalahkan negara asing termasuk Britain dan Amerika Syarikat kerana mencetus rasa tidak puas hati rakyat.

Semua protes yang dijalankan telah menjejaskan ekonomi Hong Kong, dengan kadar perdagangan pada Isnin menunjukkan kemerosotan nilai eksport tahunan sebanyak 1.4 peratus manakala nilai import juga merudum 5.8 peratus.

Setiausaha Kewangan Hong Kong, Paul Chan, pada Ahad berkata kejatuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam penggal keempat tahun ini tidak dapat dielakkan.