PADA 2003, Beijing berjaya menyiapkan pembinaan Hospital Xiaotangshan dalam masa seminggu. Ia menempatkan 1,000 katil untuk merawat pesakit SARS di China.

Individu yang bertanggungjawab dalam pembinaan hospital itu ialah Dr Huang Xiqiu.

Apabila Wuhan memutuskan untuk membina sebuah hospital yang sama hujung bulan lalu bagi merawat pesakit koronavirus, Huang dipanggil untuk mendapatkan reka bentuk asal Hospital Xiaotangshan.

Huang dan pasukannya telah meminda lukisan asal itu dan memberikan nasihat berkenaan pembinaan hospital itu.

"Tujuh belas tahun yang lalu, ketika kami membina Xiaotangshan, keadaannya sangat mendesak. Jarak antara bangunan hanya 12 meter, kali ini kami cuba menjarakkannya atas faktor keselamatan," kata Dr Huang.

Selepas wabak SARS, Dr Huang diberi tanggungjawab merancang kemudahan rawatan bagi penyakit berjangkit untuk banyak hospital di China.

Menurutnya, kunci untuk membina hospital kecemasan dalam tempoh masa yang singkat adalah model yang baik.

Dr. Huang Xiqiu bertanggungjawab dalam pembinaan kemudahan kesihatan kecemasan di China sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - CGTN

"Kami menggunakan panel pasang siap, yang dibawa dan dikumpul di tapak. Hanya asasnya saja dibina terus di atas tapak," katanya.

Sistem kumbahan juga sangat penting bagi hospital seumpama ini, tambahnya.

"Di Xiaotangshan, tidak ada masa untuk membina sistem kumbahan yang sistematik, jadi kami menggunakan kolam renang. Justeru ia memerlukan penjagaan dan pengawalan yang baik," katanya lagi.

Dr Huang juga menasihatkan pembakaran sampah yang terdiri daripada sisa perubatan dibuat jauh dari hospital.

Ini kerana, kaedah pelupusan yang digunakan di Hospital Xiaotangshan dahulu mengeluarkan bau yang kuat, menimbulkan rasa tidak selesa kepada penduduk sekitar.


Hospital Huoshenshan di Wuhan, siap dibina dalam tempoh lapan hingga sembilan hari dan mula menerima pesakit, hari ini.

Sebuah lagi hospital iaitu Hospital Leishenshen, dilapor masih lagi dalam pembinaan dan dijangka siap pada Rabu.