PERDANA Menteri Sri Lanka mengecam tindakan serangan yang dibuat sehingga mengorbankan lebih 150 nyawa di Colombo.

Menerusi Twitter, Ranil Wickremesinghe meminta semua rakyat Sri Lanka untuk kekal bersatu-padu dan kuat dalam menghadapi situasi cemas ini.

"Elakkan dari menyebarkan laporan yang belum disahkan bagi mengelak penularan spekulasi.

"Kerajaan akan melakukan tindakan sewajarnya bagi menghadapi situasi ini," katanya menerusi akaun Twitter rasmi beliau.


Beliau pada masa sama telah mengarahkan Setiausaha Pertahanan dan ketua polis negara untuk mengambil tindakan sepatutnya.

Malah, katanya, tindakan akan diambil bagi menentang pihak yang menjadi punca serangan ganas ini tanpa mengira latar belakang mereka.

Setakat ini, serangan yang membabitkan tiga gereja dan empat hotel telah menyebabkan lebih 400 cedera dan tiada pihak mengaku bertanggungjawab.
Sri Lanka berada dalam keadaan aman sejak 2009 selepas perang saudara membabitkan pemberontak Tamil.