Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memohon maaf kepada Turki berhubung insiden serangan tentera rejim Yahudi itu ke atas flotila pembebasan Gaza, Mavi Marmara tiga tahun lalu.

Netanyahu turut mengumumkan hubungan diplomatik rejim itu dengan Turki yang terputus sejak itu kini disambung balik dan kedutaan masing-masing di Tel Aviv dan Ankara dibuka semula.

Israel juga akan membayar ganti rugi kepada 9 aktivis Turki yang terbunuh dalam serangan itu.

Permohonan maaf tersebut diumumkan oleh White House tidak lama sebelum Presiden Barack Obama menamatkan lawatannya ke Israel pada Jumaat.

"Amerika Syarikat menghargai sedalam-dalamnya hubungan baik dengan Turki dan Israel, dan kami mengambil berat pemulihan hubungan positif antara keduanya demi keamanan dan keselamatan rantau," kata Obama dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh White House.


Kenyataan itu juga menyebut Netanyahu menelefon Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bagi memaklumkan permohonan maaf tersebut.

Ia adalah perbualan pertama mereka sejak dua tahun lalu. Pada Oktober 2011, Netanyahu menghubungi Erdogan untuk menawarkan bantuan Israel selepas republik Islam itu dilanda gempa bumi.

Panggilan telefon itu dibuat di lapangan terbang sejurus sebelum Obama menaiki pesawat peribadinya ke Amman, Jordan.

Perkembangan ini dari satu sisi mencuri tumpuan hasil lawatan Obama ke Israel dan Palestin selepas beliau langsung tidak menawarkan sebarang pelan baru ke arah menghidupkan semula rundingan damai yang tertangguh hampir tiga tahun.

Hubungan diplomatik antara Turki dan Israel yang pulih semula ini juga dilihat cubaan melibatkan Turki dalam krisis rantau susulan perang saudara di Syria yang belum selesai serta kebimbangan Tel Aviv terhadap apa yang didakwa 'ancaman nuklear' Iran.

Ia juga dilihat kemenangan Turki sebagai suara yang cukup lantang dari dunia Islam yang selama ini tidak berganjak daripada tuntutannya mahukan Israel bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Mendedahkan butir perbualan telefon itu, pegawai Israel berkata Erdogan menerima permohonan maaf Netanyahu.

Susulan kedegilan Israel sebelum ini, Ankara memanggil pulang dutanya dari Tel Aviv. Ia juga menarik diri daripada kerjasama ketenteraan setelah laporan jawatankuasa siasatan Pertubuhan Bangsa Bersatu yang diumumkan pada September 2011 tidak menyalahkan Israel berhubungan serangan tersebut.

Israel enggan meminta maaf sebelumnya dengan alasan ia akan membuka pintu kepada tuntutan saman di mahkamah terhadap tenteranya.

Sebelum hubungan diplomatik itu terbantut, tentera udara Israel mendapat kebenaran menjalani latihan di ruang udara Turki.

Dalam insiden serangan pada 31 Mei 2010 itu, tentera Israel menceroboh dan menyerang flotila pembebasan Gaza di kawasan perairan antarabangsa di Laut Mediterranean. Flotila anjuran Gerakan Bebaskan Gaza dan Yayasan Hak Asasi, Pembebasan dan Bantuan Kemanusiaan Turki (IHH) membawa bantuan kemanusiaan dan bahan binaan bagi memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.

Wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail dan jurukamera Samsul Kamal Abdul Latip adalah antara yang mengikuti misi flotila tersebut dengan menaiki kapal Mavi Marmara.