Indonesia hari ini mengisytiharkan Riau sebagai kawasan darurat setelah keadaan jerebu di wilayah tersebut dilapor berada pada tahap sangat berbahaya.

Media tempatan melaporkan Indeks Pencemaran Udara di Riau melebihi bacaan 900 dengan tahap penglihatan tidak sampai 100 meter yang mengakibatkan aktiviti ekonomi dan sosial temasuk di Lapangan Terbang Internasional Sultan Syarif Kasim II lumpuh.

Akhbar tempatan Riau, Tribun Pekanbaru memetik Pemangku Gabenor Riau, Arsyadjuliandi Rachman sebagai berkata ibu kota Riau iaitu Pekanbaru berada dalam keadaan sangat tidak sihat.

"Pekanbaru sudah tidak layak untuk dihuni kerena kualiatas udaranya sudah berbahaya. Angka polutan (pencemaran) yang baru saya dengar mencapai 1,000 lebih," katanya.

Sementara itu Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Republik Indonesia, Siti Nurbaya Bakar dipetik sebagai berkata pihak berkuasa tempatan di Riau telah diarah untuk membuka pos kesihatan bagi memberi bantuan kepada masyarakat setempat.

Katanya pihak berkuasa juga sedang memantau proses memadam kebakaran hutan dan ladang di Jambi dan Sumatera Selatan.

Asap tebal akibat kebakaran hutan di kedua-dua wilayah itu dilapor telah membawa jerebu yang teruk ke Malaysia dan Singapura.

Siti Nurbaya berkata usaha pemadaman terus dilakukan dengan menggunakan pesawat pengeboman air dan pembentukkan awan hujan.

"Saat ini sudah ditumpahkan sebanyak 18 juta liter (air) di Riau dan‎ 12 juta liter di Sumatera Selatan untuk pengeboman air dan sudah ditaburkan garam untuk hujan buatan sebanyak 120 ton di Riau dan 56 ton di Sumatera Selatan dan Jambi," katanya.

Presiden Jokowi yang kini dalam rangka lawatan ke timur tengah dilapor telah memberi arahan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap dalang kebakaran hutan dengan mereka yang masih berdegil meneruskan aktiviti kebakaran hutan dan ladang perlu dikenakan tindakan undang-undang.