Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un dan Korea Selatan Moon Jae-In bertemu buat pertama kali dalam sidang kemuncak bersejarah di Zon Bebas Tentera (DMZ) di sempadan Panmunjom, pada Jumaat.

Selepas bersalaman dan berpelukan, kedua-dua pemimpin berkenaan kemudian mengambil bahagian dalam acara penanaman pokok pain menggunakan tanah dan air dari kedua-dua negara.

Jong-Un dan Jae-In masing-masing menanam pokok tanda peringatan itu yang membawa mesej "Menanam kedamaian dan kemakmuran" sebelum meneruskan sidang kemuncak tersebut.

Jong-Un kemudian menjemput Presiden Korea Selatan untuk melangkah melintasi garisan sempadan Korea Utara, sambil berpegangan tangan sebelum masuk semula ke Korea Utara bagi meneruskan perbincangan.

Itu adalah saat yang tidak dirancang semasa acara bersejarah berkenaan.

Jong-Un menjemput presiden Korea Selatan untuk melangkah melintasi garisan sempadan Korea Utara, sambil memegang tangan - Foto Reuters
Antara lain pertemuan itu adalah bertujuan membuka jalan pertemuan di antara Jong-un dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Jong-un juga menjadi pemimpin Korea Utara yang pertama menjejakkan kaki di Selatan sejak perang Korea bermula 65 tahun yang lalu.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut bersetuju menghentikan penggunaan senjata nuklear di rantau kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin mengambil bahagian menanam pokok pain sebagai simbol kedamaian - Foto Reuters

Pengumuman itu dibuat oleh Kim Jong-un dan Moon Jae-in selepas mereka berdua dilihat mengadakan pertemuan empat mata di satu sudut tanpa dihadiri oleh wakil kedua-dua negara.

Kedua-duanya juga bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata bagi menamatkan Perang Korea sejak tahun 1953, sekali gus menjadi perjanjian damai tahun ini.

Jong-Un juga dijangka akan bertemu Trump pada Jun ini.

Antara perkara yang dipersetujui kedua-dua pemimpin yang dijelaskan dalam satu kenyataan bersama adalah:

- Mengakhiri "aktiviti bermusuhan" antara kedua-dua negara.

- Mengubah DMZ yang memisahkan kedua-dua negara kepada "zon keamanan" dengan menghentikan siaran propaganda.

- Pengurangan penggunaan senjata di rantau tersebut bagi menghentikan ketegangan ketenteraan.

- Berusaha mengadakan perbincangan tiga hala yang melibatkan Amerika Syarikat dan China.

- Menganjurkan pertemuan semula keluarga yang terpisah oleh perang Korea.

- Menyambung dan memodenkan kereta api serta jalan di sempadan kedua-dua negara.

- Penyertaan bersama dalam acara sukan, termasuk Sukan Asia tahun ini.


Selepas menanam pokok, kedua-dua pemimpin berbincang di suatu sudut tanpa dihadiri wakil kedua-dua negara - Foto Reuters