Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang menzahirkan kemarahannya tentang ancaman Iran sewaktu berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam ucapan tegas, Netanyahu menempelak badan dunia itu kerana dakwanya telah memberi layanan berbeza dalam isu ancaman Iran untuk memusnahkan Israel, khususnya mengenai perjanjian nuklear yang hanya akan menjadikan Iran lebih berkuasa.

Menurutnya, perjanjian itu ‘tidak akan memberi harapan kepada keamanan’, sebaliknya bantuan berbilion-bilion dolar tersebut melonjakkan kemungkinan untuk berlaku peperangan.

Dia mendakwa, Iran kini semakin meningkatkan tekanan dengan sokongan jelas kepada Bashar Al-Assad, Hezbollah dan Hamas serta membina rangkaian keganasan di seluruh dunia.

“Diam yang ketara. Diam yang membisukan,” tegasnya diikuti dengan merenung tajam para delegasi PBB selama kira-kira 45 saat sebagai penekanan ucapannya.


Ancaman militan Negara Islam (IS), kata Netanyahu, telah ‘mendekatkan’ Israel dan tetangga Arab dan dia berharap dapat membina kerjasama dengan negara-negara tersebut.

Bagaimanapun, hubungan antara Israel dan Amerika Syarikat (AS) akan kekal sebagai hubungan paling penting.

“Perbezaan kita mengenai perjanjian nuklear adalah ibarat perselisihan pendapat dalam keluarga,” ujarnya yang mengulang kata Presiden AS Barack Obama.

Netanyahu mengambil giliran berucap di PBB pada Khamis sehari selepas Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata Israel sebagai negara aparteid selain mengugut untuk membatalkan semua perjanjian sedia ada dengan Israel.