Seorang suspek lelaki memberitahu mahkamah, dia terpaksa membunuh rakan dan membuang bahagian tubuh lelaki terbabit ke dalam longkang selepas mangsa enggan memberikannya wang untuk membeli dadah.

Pembunuhan ngeri itu berlaku di Issoire, di Clermont-Ferrand, Perancis awal bulan ini.

Lapor media tempatan, perbuatan terkutuk itu terbongkar selepas seorang tukang paip menerima panggilan dari sebuah salon rambut yang mengadu tandasnya tersumbat.

Selepas membuka penutup saluran longkang, tukang paip terbabit menemui cebisan mayat yang dikaitkan dengan mangsa bunuh.

Siasatan lanjut polis ke atas sebuah pangsapuri di bahagian atas salon terbabit mendapati terdapat kesan darah pada dinding dan langsir, selain menemui sebuah gergaji.

Lebih memualkan apabila turut ditemui otak dan hati mangsa di dalam peti sejuk.

Siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek pada 10 Januari lalu dilihat menaiki keretapi dan membuat tiga bungkusan dengan kesan darah ke dalam tong sampah.

Suspek yang juga pernah didakwa sebagai penagih dadah dan mencuri kemudiannya ditahan di kediamannya.

Pendakwaraya mendedahkan suspek telah membunuh rakannya itu kerana enggan memberikan sejumlah wang untuk membeli dadah.