TIDAK dapat tidak, kita mesti bersetuju bahawa radar perhatian dunia sejak dua minggu lepas dihalakan kepada Rohingya - masyarakat, etnik, kumpulan minoriti Islam yang dikatakan paling malang di planet ini.
Benar, radar perhatian oleh pelbagai dimensi kumpulan itu tidak salah.
Orang ramai - ada yang pakar, tidak kurang yang beremosi, malah ada yang melihat sepintas lalu tetapi mahu terus diangkat jadi pakar cuba menyampaikan pandangan mereka di bermacam-macam landasan media.
Itu sekali gus menjadikan perhatian kepada isu Rohingya yang dahulunya tenggelam timbul, jadi rencam malah bersemarak.
Namun, kepelbagaian pendapat itu bukan tidak boleh diterima, tetapi wajar ditapis sebagai langkah bijak.
Ya, bantuan yang menyusul sorotan luar biasa itu juga tiada tidak kena pada tempatnya. Semuanya baik-baik sahaja, malah itulah yang perlu atas hujah kemanusiaan, maka Rohingya dibantu sedaya mungkin.
Namun, yang tidak adil dan barangkali kurang enak ialah, cabang-cabang pendapat lain di luar konteks bantuan kepada etnik ini yang hakikatnya sudah berdekad-dekad memerlukan bantuan antarabangsa.
Sebagai pengkaji etnik Rohingya di Institut Asia Eropah (AEI), Universiti Malaya (UM), saya melihat isu ini membuka mata dan minda kepada pelbagai isu lain yang ada pula sangkut paut dengan hal-hal politik, sejarah, pelarian dan beberapa hal terkini lain. Sebagai contoh, satu persoalan yang perlu dijawab ialah kenapa hanya kini Rohingya dilabel pengganas?
Lebih daripada itu, mengapa pemimpin Aung San Suu Kyi, yang diangkat sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan kerana usahanya mempromosi keamanan dan demokrasi terus tutup mulut dan tidak mengecam mereka yang melakukan keganasan ke atas Rohingya?
Dalam konteks di Malaysia pula, perdebatan yang berlegar-legar ialah kenapa ada kelompok yang seolah-olah mahu memperlihatkan Rohingya ini sebagai satu bebanan kepada negara, justeru tidak perlu lagi dibantu walaupun atas dasar apa sekali pun.
Dan, sebagai individu yang mengikuti rapat isu hangat ini, saya gariskan beberapa persoalan mengenai Rohingya dan jawapan kepada persoalan-persoalan itu berdasarkan kepada hujah akademik, pembacaan dan kajian selain pengalaman bersama warga malang itu sendiri. Tujuannya, supaya kita boleh faham isu ini, seterusnya membantu Rohingya dalam keadaan adil dan tepat.
Persoalan 1: Adakah Rohingya boleh dilabel pengganas?
Mengenai isu ini, yang hanya timbul seawal tahun 2015, saya ingin menarik perhatian tentang perbualan terakhir saya dengan penulis warga Rohingya AFK Jilani, yang menulis buku “The Rohingya Arakan, Their Quest for Justice’’, sebelum beliau menutup mata.
Kata beliau, semasa saya menemuinya di rumahnya di Hulu Kelang, “Rohingya itu sengsara, Rohingya itu miskin, Rohingya itu tiada daya dan kerana itu, Rohingya tidak seperti etnik minoriti lain (Karen dan Shan misalnya) yang mengangkat senjata melawan kerajaan’’.
Tambahnya, lawan Rohingya ke atas kerajaan cuma lari meninggalkan kampung halaman, jadi pelarian, merempat tunggu bantuan walaupun trauma. Maka, mana mungkin Rohingya itu ada potensi jadi pengganas dan mengganas pula ke atas kerajaan?
Untuk rekod, AFK Jilani tutup mata pada usia 72 tahun, 21 Jun lalu. Saya bawa pula pandangan Allahyarham itu kepada perhatian Dr Gerhard Hoffstaeder, pakar antropologi Universiti of Queensland, yang banyak mengkaji etnik Rohingya dan Chin.
Katanya, Rohingya itu tiada elemen pengganas terhadap mereka, kerana pengganas itu perlu ada rangkaian yang sistematik, senjata canggih dan hubungan strategik yang mantap.
“Dalam hal ini, mereka ialah mangsa keganasan, yang lari daripada pengganas, bukannya mereka yang mencetuskan keganasan.’’
Tambahnya, dalam keadaan mereka tiada harapan dan tujuan selepas cuba lari menyelamatkan diri itu, situasi berkenaan amat mudah untuk ideologi keganasan menyusup masuk. Katanya kepada saya: “Bayangkan kalau ratusan dan mungkin ribuan Rohingya yang melarikan diri ini, dalam keadaan tiada arah tujuan hidup, direkrut oleh pengganas Daish atau Al-Qaeda, apa akan jadi kepada dunia ini? Sudah pasti, senario terburuk akan berlaku dalam perang menentang keganasan’’.
Saya mahu senada dengan kenyataan Dr Gerhard kerana dalam hal ini, saya berpandangan, kita yang salah, kerana ada persepsi buruk lalu membiarkan mereka menjadi mangsa keganasan.
Persoalan 2: Laporan dan gambar kekejaman oleh tentera Myanmar ke atas Rohingya palsu?
Hal ini timbul disebabkan begitu banyak maklumat mengenainya disebarkan. Sehingga pihak tentera Myanmar dan pentadbiran di Napiytaw terpaksa menjawab bagi meredakan kecaman ke atas mereka kerana apa yang sudah dilakukan oleh mereka.
Ini termasuk kenyataan oleh beberapa pemimpin pentadbiran Myanmar bahawa “gambar-gambar palsu” itu digunakan pengganas di Rakhine untuk mewajarkan aktiviti keganasan mereka.
Nah, ini satu lagi dakwaan yang boleh dikatakan berlegar-legar di luar konteks isu asas Rohingya. Putar-belit oleh segelintir media hampir 100 peratus itu mendominasi pula pentas media-media antarabangsa dan diambil media tempatan sehingga menimbulkan sedikit dimensi baharu dan kepercayaan pendapat “mungkin ada benarnya apa yang dikatakan”.
Ini sekali gus memberikan sisi lain mengenai Rohingya. Dalam hal ini, segarkan ingatan kita tentang sejumlah besar Rohingya yang melarikan diri dan mendapatkan perlindungan di seluruh dunia sejak keganasan ke atas mereka berlanjutan sebelum merdeka pada 1948.
Ada yang lari ke Bangladesh, berjaya sebagai pencari suaka di negara ketiga. Ada yang membina hidup di luar Bangladesh, malah ada sesetengahnya diberi kepercayaan mendahului warga tempatan selepas berjaya dalam proses asimilasi di negara dihuni.
Semua ini membuka perkembangan yang bukan kecil kepada penerimaan dan penyampaian maklumat.
Ditambah pula era 20-an ialah di mana media sosial ialah ‘raja kepada hidangan dan penyebaran maklumat’, apa yang berlaku - baik yang buruk atau sebaliknya - mudah tular lalu dihadam.
Saya pernah tanyakan hal yang sama kepada seorang intelektual Rohingya hidup sebagai pencari suaka di Netherlands, Dr Ro H. Kyaw.
Saya tanyakan: “Bagaimana gambar-gambar menakutkan mangsa kekejaman boleh dirakam dan disebarkan? “Jika benar, siapa sebarkan?”
Beliau jawab mudah: “Gambar-gambar dan video-video ini tidak mungkin tidak sahih memandangkan mangsa ada keluarga, ada saudara mara. Malah, dirakam pula menerusi telefon berserta tarikh dan lokasi,’’ ujar beliau sebelum kemudiannya menambah, tentera kerajaan tidak boleh nafi mereka tidak melakukan kekejaman ke atas Rohingya memandangkan wujud bukti dalam bentuk dokumen dan laporan sebegitu.
Malah kata Dr Kyaw, beliau sendiri pernah menjadi mangsa kekejaman tentera di sempadan apabila enggan mengaku sebagai etnik Bengali semasa mahu melarikan diri dan hidup sebagai pelarian di kem di Bangladesh.
Dan, beliau simpan kejadian itu dalam memorinya dan dokumen sehingga sekarang dan sedia mendedahkanya apabila memerlukan. Bagaimanapun, nasihatnya, memandangkan media tidak dibenarkan memasuki tempat kejadian di Rakhine, ada baiknya rujukan dibuat berdasarkan kepada kajian di dalam buku ilmiah, laporan akademik dibuat berdasarkan hujah etika dan fakta sebelum menghasilkan sebarang kesimpulan.
Persoalan 3: Adakah berlaku jenayah kaum (genosid) atau pembersihan etnik (ethnic cleansing) Rohingya di Rakhine?
Dua perkara ini didebatkan dengan serius oleh pelbagai pihak, pakar, penyelidik dan individu dalam bidang lain berkaitan. Dengan laporan pembunuhan, tembak, rogol dan bakar kediaman yang disiarkan setiap hari di dada akhbar, di skrin televisyen dan paparan telefon pintar, satu kesimpulan mudah dibuat - “Ya, ada berlaku jenayah kaum di Rakhine, dan benar, terjadi pembersihan etnik Rohingya di Rakhine.”
Namun, cukupkah elemen-elemen itu semua untuk mengaitkan tentera Myanmar melakukan pembunuhan jenayah kaum di Rakhine? Saya mahu memetik data-data dalam laporan Burma Human Rights Network yang mendedahkan sejak 1938 lagi 240 orang Muslim Rohingya dibunuh.
Keganasan berterusan menerusi pelbagai operasi termasuk pada 2012 di mana kekejaman tentera mendorong Rohingya melarikan diri dan memaksa 120,000 terkandas. Bukan itu sahaja, pada 2015, keganasan meletus lagi dan ratusan lagi melarikan diri ke sempadan.
Tidak sahaja melarikan diri,kediaman Rohingya dibakar, wanita dirogol dan anak-anak kecil dibunuh seolah-olah nyawa mereka sangat murah harganya. Terbaharu, atas hujah mahu lawan keganasan, Rohingya diperangi habis-habisan. Ratusan terbunuh, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bimbang jumlahnya lebih daripada ratusan, mungkin beribu-ribu yang terbunuh. Apakah erti matematik ini semua? Maknanya, ada sesuatu yang berlaku di Rakhine.
Momok itu boleh sahaja dipanggil genosid atau jenayah kaum kalau diambil definisi Profesor Dr David Simon, Pengarah Kajian Genosid di Universiti Yale.
Beliau antara lain mengaitkan apa yang berlaku di Rakhine itu menepati ciri-ciri genosid yang dipersetujui pada 1948 - selepas Holocaust Yahudi. Bahawa tindakan tentera itu cirinya mahu memusnahkan etnik, kewarganegaraan, kaum atau kumpulan agama secara sedikit atau keseluruhannya.
Dalam satu tweet menjawab soalan saya mengenai dua hal ini, warga Rohingya beragama Buddha, Dr Maung Zarni berkata: “Mungkin belum jelas ada berlaku jenayah pembunuhan kaum di Rakhine, tetapi sekurang-kurangnya saya boleh katakan pembersihan etnik itu sudah terjadi ke atas Rohingya.”
Untuk rekod, jenayah pembersihan etnik berlaku dahulu sebelum jenayah pembunuhan kaum. Untuk rekod juga, masa yang panjang diperlukan untuk membuktikan tindakan jenayah kaum. Jangan dilupakan, Pol Pot, ketua rejim Khmer Rouge di Kemboja didakwa dengan jenayah kaum hanya selepas beberapa lama rejim Khmer Rouge digulingkan dan Pol Pot meninggal dunia.
Persoalan 4: Kenapa Aung San Suu Kyi terus membisu?
Ini juga persoalan yang ada hubung kait dengan isu Rohingya, malah, barangkali penyumbang kepada sukarnya hal ini diselesaikan.
Dengan begitu banyak kecaman, pendedahan kekejaman tentera Myanmar, persoalannya mengapa wanita ini - anak kepada Jeneral Aung San, yang mencetuskan kepada gerakan pembaharuan di Myanmar, masih terus mengunci mulut memberikan pandangannya mengenai apa yang berlaku di negaranya, tetapi mendapat perhatian besar-besaran di luar negaranya.
Sejak menduduki tampuk kuasa sebagai pemimpin de facto Myanmar susulan pilihan raya tahun lalu, Suu Kyi, yang dinobat pemenang Hadiah Nobel Keamanan 1991 dikecam hebat kerana hanya pandang sebelah mata mengenai isu minoriti - tanpa terkecuali Rohingya - walaupun asasnya, penyelesaian soal etnik dan minoriti adalah sebahagian ciri pembaharuan.
Tindakannya itu mengundang kecaman bukan kecil pelbagai pihak termasuk pemenang-pemenang Hadiah Nobel lain, termasuk Malala Yousafzai dan Desmond Tutu.
Ada yang emosi pula mencadangkan, lucutkan sahaja anugerah Hadiah Nobel Keamanan yang diterimanya atas usaha bersungguh-sungguh mempromosikan keamanan dan demokrasi itu. Tetapi ironinya, kenapa wanita ini enggan bersuara?
Malah, kalau ada suara kecil di pihak beliau sekalipun, Suu Kyi mengaitkan dengan keganasan atau sekurang-kurangnya beliau menjawab, “bukan Rohingya sahaja yang jadi mangsa keganasan, etnik lain juga berdepan masalah sama.”
Mengenai hal ini, ada yang mengaitkan soal Suu Kyi dengan survival politik dan permainan politik tentera Myanmar.
Hujahnya mudah. Memang, Suu Kyi adalah pemimpin Myanmar, tetapi bukan mengawal tentera. Malangnya, tentera Myanmar dikenali Tadmadaw sendiri tidak mempercayainya atas sebab panas dingin politik dalaman negara paling miskin di Asia Tenggara itu.
Untuk mendapatkan kepercayaan tentera, Suu Kyi perlu membisu atau setidak-tidaknya mengelakkan beri pandangan yang berupaya menuding jari kepada tentera.
Sebagai contoh, jenayah kaum yang boleh mengaitkan kepada tentera Myanmar. Sebarang penjelasan oleh beliau wajar bersifat melindungi tentera. Namun, sayangnya, tindakan itu dibimbangi lambat laun boleh memakan diri beliau sendiri. Di sebalik perhatian luar biasa, berduyun-duyun bantuan dihulurkan, hanya ada harapan kecil untuk isu ini diselesaikan oleh kepimpinan Myanmar jika sikap Suu Kyi cuma berpihak kepada mereka yang berkepentingan sahaja.
Ada beberapa lagi persoalan mengenai Rohingya ini dalam konteks Malaysia yang perlu dijelaskan.
Ia penting untuk difahami memandangkan di negara Asia Tenggara, Rohingya hidup secara diaspora paling ramai di negara ini berbanding di Thailand, Brunei dan Indonesia lain. Malah, Malaysia jadi destinasi paling mudah dimasuki Rohingya dan paling diinginkan mereka atas faktor geografi dan kemanusiaan yang ditonjolkan Malaysia.
Persoalan-persoalan ini dan jawapannya akan dibincangkan dalam bahagian kedua artikel ini.
* Artikel ditulis oleh Pengkaji Etnik Rohingya, Institut Asia Eropah, Universiti Malaya dan juga Pengarang Astro AWANI, Azlinariah Abdullah.
* Beliau juga ialah penulis buku 'Air Mata Kesengsaraan Rohingya - Identiti, Penindasan dan Pelarian'.
* Pandangan penulis tidak semestinya mewakili pandangan sidang editorial Astro AWANI.
Dr Azlinariah Abdullah
Sat Sep 09 2017
Apakah pandangan kita semua tentang isu Rohingya? - Foto: Reuters
Amerika Syarikat tolak waran tangkap ICC untuk Netanyahu, Gallant - White House
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, luah kebimbangan Amerika terhadap sikap tergesa-gesa Pendakwa Raya mendapatkan waran tangkap dan kesilapan proses yang membawa kepada keputusan ini.
Napie Spider meninggal dunia pada usia 51 tahun
Pemain gitar utama kumpulan Spider menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Buloh pada pukul 3.54 pagi tadi.
Bersih puji reaksi positif Perdana Menteri terima gred D
Maklum balas positif yang disusuli iltizam untuk memperbaiki gred di masa akan datang, adalah gambaran keterbukaan Perdana Menteri.
10 projek berkaitan aeroangkasa bernilai RM500 juta diluluskan sehingga 2023 - MITI
Syarikat industri aeroangkasa Malaysia juga telah berjaya membida pakej kerja baharu untuk sektor pembuatan aeroangkasa.
Duta Palestin ke UK alu-alukan waran tangkap terhadap Netanyahu, gesa akauntabiliti penuh
Duta Husam Zomot menyifatkan waran tangkap itu sebagai langkah ke arah pertanggungjawaban dan keadilan untuk Palestin.
Pulau Pinang digesa laksana aktiviti bernilai tinggi untuk kekal kompetitif - Chow
Chow berkata pelaksanaan itu bagi memastikan Pulau Pinang terus berdaya saing dalam pasaran semikonduktor global.
Pejabat Hak Asasi Manusia PBB sokong ICC keluar waran tangkap terhadap Netanyahu, Gallant
Kami menghormati kebebasan dan kompetensi Mahkamah Jenayah Antarabangsa di bawah Statut Rom, kata Jeremy Laurence.
LHDN komited tingkat pematuhan cukai menerusi audit dan siasatan
Hisham berkata, kesemua tindakan itu dilaksanakan mengikut undang-undang yang ditetapkan.
Bank Indonesia beku akaun bank dikaitkan dengan perjudian dalam talian
Penyedia perkhidmatan pembayaran mesti mempunyai sistem pengesanan untuk mengenal pasti akaun yang digunakan untuk transaksi penipuan.
COP29: Penyertaan Malaysia beri kemajuan terhadap matlamat pelepasan karbon sifar bersih
Malaysia buka inisiatif inovatif dan pelaburan besar untuk membolehkan negara melangkah lebih jauh ke arah menjadi negara pelepasan karbon sifar bersih.
Anak lelaki risau tahap kesihatan Aung San Suu Kyi di penjara
Kim Aris dakwa, ibunya dinafikan akses kepada doktor luar selepas mengalami pening dan muntah.
Pengampunan separa Suu Kyi tidak bermakna - Anak
Pengampunan separa oleh tentera junta Myanmar terhadap bekas pemimpin yang dipenjarakan, Aung San Suu Kyi tidak mempunyai sebarang makna.
Thailand sambut baik pengampunan Suu Kyi
Thailand berharap pemberian pengampunan itu akan membantu mewujudkan suasana kondusif untuk dialog politik di Myanmar.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Junta Myanmar beri pengampunan negara kepada Suu Kyi
Bekas pemimpin parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) itu dipenjarakan sejak rampasan kuasa Februari 2021.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Suu Kyi sokong rundingan 'tanpa syarat' untuk hentikan krisis di Myanmar - Laporan
Pemimpin Myanmar yang dipenjarakan Aung San Suu Kyi akan menyokong rundingan "tanpa prasyarat" untuk menamatkan krisis yang berlaku di negara itu.
UK umum sekatan baharu terhadap Myanmar, sasar pembekal peralatan tentera
United Kingdom pada Isnin mengumumkan sekatan baharu terhadap Myanmar, termasuk menyasarkan pembekal peralatan ketenteraan kepada junta.
Kerajaan tentera Myanmar nafi lakukan pembunuhan beramai-ramai
Anggota kumpulan penentangan bersenjata mendakwa bahawa mayat mangsa ditemukan di pekarangan sebuah biara Buddha pada lewat Sabtu lalu.
Pilihan Raya Myanmar di tengah-tengah keganasan, Ketua PBB suarakan kebimbangan
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Isnin menyuarakan kebimbangan mengenai hasrat junta Myanmar untuk mengadakan pilihan raya di tengah-tengah keganasan.