Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam dan delegasi ialah antara rakyat Singapura yang terkandas dalam insiden gempa bumi yang menggegarkan Lombok.

Mereka berada di Mataram, Lombok kerana menghadiri satu persidangan keselamatan.

"Saya ketika itu berada dalam bilik saya, tingkat 10, membuat tugasan menggunakan komputer riba. Tiba-tiba bilik itu terasa bergegar, dinding retak, menghadapi kesukaran untuk berdiri. Terdengar jeritan.

"Saya meluru keluar dan menuruni tangga untuk turun ketika bangunan itu masih bergoncang. Bekalan elektrik terganggu seketika. Banyak keretakan berlaku, pintu-pintu terjatuh. BBC menggambarkannya sebagai gempa bumi besar," menurut catatannya dalam laman Facebook beliau.


Shanmugam menyatakan bahawa delegasinya selamat.

Gempa bumi bermagnitud 7 pada skala Richter menggegarkan utara Lombok pada 6.46 petang tadi dan gegaran turut dirasai di sekitar Pulau Sumbawa, Pulau Bali dan Jawa Timur.

-- BERNAMA