Walaupun usaha menyelamat pasukan bola sepak remaja Thailand dari gua Tham Luang dekat Chiang Rai telah berakhir, namun usaha 'pencarian' baru sahaja bermula buat 'pengejar nombor ekor'.

Memetik laporan media tempatan, vendor 'loto' atau perjudian yang berdasarkan persamaan nombor di utara Thailand memaklumkan nombor berkaitan kejayaan usaha menyelamat di Tham Luang laris dijual dalam masa beberapa minit sahaja di kebanyakkan tempat.

BACA: Begini caranya operasi keluarkan mangsa di Gua Tham Luang

BACA: Jurulatih Ekk paling akhir keluar, tunai janji jaga anak-anak buah


Antara nombor yang menjadi pilihan adalah 13 - iaitu jumlah individu yang terperangkap dalam gua tersebut merangkumi 12 pelajar dan seorang jurulatih.


Sementara seorang penjual 'loto' di Chiang Mai turut berkongsi nombor lain yang turut menjadi pilihan utama termasuk 38 - umur pesara penyelam tentera laut, Saman Gunan yang maut ketika operasi menyelamat dan 23 iaitu tarikh pasukan bola sepak remaja itu memasuki gua tersebut.

BACA: 'Kapal selam' mini tidak digunakan, tetapi...

Malah, van yang membawa pawang hutan Ba Boonchum ke gua tersebut bagi upacara keagamaan turut menggunakan nombor 13 pada plat pendaftaran kenderaan sekaligus meningkatkan populariti nombor tersebut.


Semalam, kesemua mangsa iaitu 12 pelajar dan seorang jurulatih pasukan bola sepak remaja di Thailang berjaya diselamatkan dalam tempoh tiga hari operasi di lakukan.

BACA: Kenali wira-wira penyelam gua Tham Luang

Mereka terperangkap lebih 18 hari di gua Tham Luang dekat Chiang Rai, iaitu sebuah kawasan di utara Thailand.



*Peringatan: Di sisi agama Islam, judi atau al-maisir ditafsirkan sebagai suatu bentuk permainan beradu nasib yang menggunakan wang atau harta benda sebagai taruhan dan pemenang pertaruhan akan mendapat hasil berlipat kali ganda.

**Artikel ini tidak bermaksud Astro AWANI menggalakkan aktiviti seumpamanya.