Anugerah Nobel Bagi Fisiologi dan Perubatan 2016 dimenangi oleh pakar biologi sel Jepun, Yoshinori Ohsumi.

Hadiah tersebut dianugerahkan kepada Ohsumi berikutan kajiannya mengenai autophagy iaitu kajian mengenai cara tubuh manusia memecahkan dan mengitar semula komponen sel.

Kajian ini penting kerana berjaya membantu menjelaskan proses sebenar yang berlaku dalam banyak penyakit misalnya kanser dan Parkinson.

Melalui kajian autophagy, Ohsumi berjaya mengesan gen yang mengawal proses ‘memakan diri sendiri’ ini. Kecacatan dalam gen inilah yang menyebabkan wujudnya penyakit seperti kanser.


Pada tahun lalu,William C Campbell, Satoshi Ōmura dan Youyou Tu terpilih memenangi hadiah Nobel perubatan kerana penemuan mereka tentang ubatan anti parasit.

Manakala pada tahun 2014, John O'Keefe, May-Britt Moser dan Edvard Moser menjadi pemenang melalui kajian mereka mengenai sistem navigasi otak.

Hadiah Nobel dianugerahkan oleh Yayasan Nobel sejak tahun 1901 dalam beberapa bidang utama seperti sains, perubatan, ekonomi, dan kesusasteraan bagi mengiktiraf pencapaian penting para ilmuan terhadap kehidupan dan tamadun manusia.