PENYANYI dan komposer kelahiran Australia, Selina Jenkins mempunyai perasaan yang sangat berbeza dan pelik berbanding wanita lain.

Jenkins tidak pernah menyukai payudaranya menyebabkan dia mengambil keputusan untuk membuang dan hanya meninggalkan putingnya sahaja.

Membenci payudara yang dimiliki tidak bermakna dia menghidap sebarang penyakit, jauh sekali untuk mengubah jantina.

Sebaliknya, bagi Jenkis, 31, payudara itu hanya mengganggu rutinnya sejak remaja lagi.

"Perasaan tidak suka payudara ini mula ada ketika saya melakukan aktiviti olahraga termasuk semasa yoga dan menunggang kuda. Saya rasa sangat tidak selesa dan tidak nampak apa manfaatnya dengan memilikinya (payudara)," kata Jenkins seperti yang dilaporkan portal berita ABC Australia.

Dan keputusan membuang kedua-dua payudara itu dibuat secara sukarela di Florida, Amerika Syarikat (AS) sekitar tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun, sebelum mengadakan pembedahan di AS, Jenkins telah bertemu dengan beberapa doktor pakar di Australia dan menyatakan hasrat untuk membuang payudaranya.

Rata-rata daripada mereka tidak bersedia melakukannnya memandangkan Jenkins tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.

"Ini adalah keputusan terbaik yang saya buat dalam hidup," kata Jenkins berkongsi kepuasan yang diperolehnya.

Sekalipun kini sudah tidak memiliki payudara seperti wanita lain, namun itu bukan sebab kenapa dia harus merasa rendah diri.

"Saya adalah seorang wanita yang tidak memiliki payudara. Dada saya mungkin rata tapi saya tetap seorang wanita, jenis wanita yang berbeza," katanya lagi.