PEGUAM BELA bagi seorang suspek dalam kes perbicaraan pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh pada 2014 memaklumkan pandemik COVID-19 telah menjejaskan usaha untuk melakukan persediaan.

Menurut peguam Sabine ten Doesschate yang mewakili suspek warga Rusia, sekatan perjalanan udara dan beberapa sekatan lain menyukarkannya untuk menemu bual anak guamnya.

Beliau yang merupakan peguam Belanda yang mewakili Oleg Platov suspek warga Rusia menjelaskan pihaknya masih belum bersedia untuk membuat bantahan awal.

Ia termasuk mencabar kuasa mahkamah Belanda dalam kes berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas perbicaraan tersebut disambung semula pada Isnin.

Bagaimanapun, hakim dan pendakwa raya tidak memberikan maklum balas terhadap dakwaan pihak pembelaan, yang mana boleh menyebabkan penangguhan perbicaraan tersebut yang dimulakan sejak 9 Mac lalu.

Dalam perbicaraan pada Isnin, mahkamah menyaksikan barisan lima hakim duduk dipisahkan penghadang cermin manakala peguam dan anggota keluarga perlu mematuhi penjarakan sosial dengan maksimum hanya 30 orang dibenarkan.

Terdahulu, kesemua 298 penumpang dan anak kapal MH17 sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ditembak menggunakan peluru berpandu di wilayah dikuasai pemberontak pro-Russia yang bertempur dengan tentera Ukraine.

Empat defendan dibicarakan pada Mac lalu selepas siasatan hampir enam tahun oleh Pasukan Penyiasat Bersama Antarabangsa (JIT) diketuai Belanda, yang turut disertai Belgium, Australia, Ukraine dan Malaysia.



JIT berkata pelancar peluru berpandu yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat penumpang terbabit datang dari pangkalan tentera Rusia di seberang sempadan.

Difahamkan, pejuang pro-Rusia kerap berhubungan dengan pegawai kerajaan di Moscow sebelum serangan itu dilancarkan pada 17 Julai 2014.

Belanda mendakwa Rusia bertanggungjawab tetapi dinafikan dengan Moscow secara konsisten terus menolak sebarang pembabitan dalam serangan itu.



Bekas komander lapangan, Leonid Kharchenko, 47, adalah satu-satunya warga Ukraine dituduh bersama tiga suspek lain yang dinamakan dalam siasatan JIT.

BACA: MH17: Ini info mengenai suspek di sebalik nahas

Tiga suspek lain adalah warga Russia iaitu Sergei Dubinsky, Oleg Pulatov dan Igor Girkin.

Hanya Pulatov melantik pasukan pembelaan manakala baki defendan dibicarakan tanpa kehadiran mereka.