Presiden Rusia, Vladimir Putin bakal dicabar calon pembangkang, Alexei Navalny, pada pilihan raya Presiden yang dijadual berlangsung Mac tahun depan.

Navalny adalah satu-satunya lawan yang menentang Vladimir sejak 18 tahun berkuasa.

Navalny mengemukakan borang penamaan calon kepada Suruhanjaya Pilihanraya pada Ahad, selepas mendakwa berjaya mengumpul sokongan mencukupi daripada 20 bandar bagi berdepan Putin.

Kelayakan Navalny bagaimanapun masih belum disahkan, kerana beliau sebelum ini pernah disabit kesalahan rasuah, yang didakwanya bermotifkan politik.

Tinjauan agensi pilihan raya menunjukkan sokongan terhadap Putin berada pada tahap 80 peratus, yang mana akan menjamin kemenangannya.

Namun Navalny dilaporkan berjaya raih sokongan di beberapa wilayah pedalaman, dengan kempen akar umbi selama setahun.

Navalny yakin mampu menang sekiranya bertanding menentang Putin, dan mendesak penyokongnya memboikot pilihan raya berkenaan sekiranya beliau tidak dibenarkan bertanding.

Pemerhati menyifatkan Navalny sebagai satu-satunya calon yang mampu mencabar Putin, yang cuba mempertahankan jawatan presiden untuk penggal keempat sekaligus menjadi presiden paling lama berkuasa selepas Joseph Stalin.