Sehari selepas tentera mengambilalih kuasa di Zimbabwe, krisis politik negara Afrika itu semakin parah.

Presiden Robert Mugabe dan isteri, Grace kini dilaporkan ditahan di rumahnya, satu tindakan yang dianggap banyak pihak sebagai satu rampasan kuasa terancang.

Serentak itu, blok utama rantau Afrika, iaitu Kesatuan Afrika (AU) melihat krisis politk Zimbabwe kini semakin membimbangkan.

“Satu penyelesaian segera perlu diambil. AU dan pihak-pihak yang berkaitan perlu memulihkan segera isu perlembagaan supaya kententeraman dan keamanan dipulihkan di Zimbabwe,’’ kata Ketua AU, Alpha Conde dalam satu kenyataan.

BACA: Rakyat Malaysia di Harare yang dilanda krisis selamat - Kementerian Luar

BACA: Tentera Zimbabwe rampas kuasa untuk halang 'penjenayah'

BACA: Beberapa letupan kedengaran di Zimbabwe, nafi rampasan kuasa

Kata Conde, yang juga Presiden Guinea, pada masa ini, sebilangan besar tentera digembleng dan ditempatkan di jalan-jalan utama untuk kawalan ketat keselamatan.

“Askar dan tentera pada bila-bila masa boleh berganding bahu dan merampas sekali gus mengambil alih kuasa daripada kepimpinan awam,’’ tambah beliau.


Bagaimanapun, tentera menafikan sudah merampas kuasa sebaliknya menegaskan Mugabe dan isteri berada dalam keadaan selamat di rumahnya.

Tambah mereka, tindakan diambil adalah bertujuan memburu penjenayah dalam kalangan kepimpinan Mugabe.

Tentera pada Selasa menawan sebuah pusat penyiaran negara, ZBC. Serentak tindakan itu, saksi turut mendedahkan terdengar beberapa letupan yang turut disusuli kenderaan tentera mara memasuki ibu kota Harare.

Naib Presiden, Emmerson Mnangagwa dipecat minggu lalu, satu tindakan yang membuka jalan membolehkan isteri Mugabe, Grace mengisi kekosongan itu.

Bagaimanapun, ia tidak disenangi tentera yang melihat mereka diketepikan. Pemecatan itu dilihat kemuncak pergolakan antara pentadbiran Mugabe dan tentera.

Mugabe, 93 tahun sudah berada dalam pentas politik Zimbabwe sejak negara itu merdeka daripada Britain pada 1980.