Pelakon filem lucah Stormy Daniels yang mendakwa pernah mengadakan hubungan sulit dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, mengakui diugut untuk berdiam diri.

Dalam temubual di stesen televisyen CBS, Daniels mendedahkan dia diugut pada 2011 selepas beliau bersetuju menjual kisah gelapnya itu kepada sebuah majalah dengan harga AS$15,000.

Syarikat majalah terbabit kemudian turut menerima ugutan dari peguam Trump, Michael Cohan yang mengugut mahu menyaman dua bekas pekerja syarikat itu walaupun Daniels mendakwa beliau tidak menerima sebarang bayaran dari syarikat terbabit.

Daniels atau nama sebenarnya Stephanie Clifford, kemudian menceritakan lebih lanjut ugutan yang diterima dari pegawai suruhan Trump.

Jelasnya, ketika itu dia berada di parkir kediamannya dan sedang bersiap-siap mahu ke kelas kecergasan sambil mengemas kenderaannya.

Dia kemudiannya mengemas tempat duduk keselamatan anak kecilnya sebelum didatangi seorang lelaki.

Katanya, lelaki tersebut telah berjalan ke arahnya dan terus berkata "Jangan ganggu Trump, lupakan semua yang berlaku."

"Kemudian lelaki terbabit terus beredar," jelasnya.

Dakwa Daniels, lelaki terbabit turut bermaksud untuk mencederakannya.

"Sebelum beredar lelaki itu melihat ke arah saya dan berkata.

"Anak kecil yang cantik, pasti dia akan berasa malu bila besar kelak apabila mengetahui sesuatu buruk berlaku kepada ibunya," jelas Daniels ketika mengingat semula kata-kata lelaki yang tidak dikenali itu.

Daniels berkata sejurus selepas lelaki itu pergi, dia menggeletar seluruh badan dan mula berasa takut untuk ke kelas kecergasannya dan menghantar anaknya ke tempat asuhan.

Sejak kejadian itu dia mendakwa tidak lagi melihat lelaki terbabit.

"Jika saya terlihat lelaki itu lagi di hadapan saya, saya pasti saya masih boleh mengenalinya," jelas Daniels.

Temubual bersama pengacara terkemuka Anderson Cooper itu dibuat selepas isu perjanjian wang tunai yang diterima Daniels berjumlah AS$130,000 beberapa sebelum pilihan raya presiden AS diadakan pada 2016 didedahkan.

Berhubung isu itu Daniels berkata dia melanggar perjanjian terbabit untuk tidak mendedahkan sebarang maklumat dan kini mungkin perlu menanggung denda berjumlah AS$1 juta.

"Ini adalah penting bagi saya untuk saya mempertahankan diri saya," jelasnya kepada Cooper dalam siaran yang mendapat tontonan teramai itu.

Dalam temubual terbabit dia bagaimanapun enggan mendedahkan sebarang bukti yang dimilikinya berhubung hubungan gelapnya bersama Trump.

Daniels bagaimanapun berkongsi satu kisah hubungan sulitnya bersama Trump pada Julai 2006.

Menurutnya dia bersama Trump di bilik sewa sebuah hotel terkemuka di Lake Tahoe.

Daniels mengimbas kembali perbualannya bersama Trump sebelum aksi ranjangnya bermula.

"Saya bergurau bersamanya sambil memegang majalah yang terdapat wajahnya di muka hadapan.

"Saya berkata 'seseorang perlu memukul muka lelaki ini dengan majalah ini'.

"Saya tidak rasa ada sesiapa lebih berani dari saya untuk berkata begitu di hadapan Trump."

Sambung Daniels, aksi gurauan itu berlanjutan sehingga saat intim bermula dan Trump mula menanggalkan satu persatu pakaiannya.

Ketika itu katanya Trump mula berbicara dengannya lebih intim dan bertanya lanjut tenatng dirinya.

"Dia (Trump) berkata, wow, awak sangat istimewa, awak mengingatkan saya kepada anak saya.

"Awak tahu dia sama seperti awak, bijak, cantik dan dia sangat serupa dengan awak," dedah Daniels.

Daniels berkata ketika hubungan itu berlangsung isteri Trump, Melania Trump baru sahaja melahirkan anak mereka Barron Trump.

"Saya bertanya tentang dia (Melania), tetapi Trump hanya menjawab, ya, ya, kami tinggal di bilik berasingan dan beberapa alasan lagi," kata Daniels.

Dedahnya pada malam terbabit dia telah mengadakan hubungan seks bersama Trump tanpa sebarang perlindungan walaupun pasa masa itu dia tidak sedikit pun mempunyai perasaan terhadap Trump.

Dakwa Daniels lagi Trump beberapa kali telah menghubunginya selepas malam itu dan menawarkannya untuk menyertai rancangan realiti 'Celebrity Apprentice'.

Mengakhiri temubual itu, Daniels berkata perjanjian yang dibuat bersama peguam Trump, Cohen, membuatkan dirinya tidak punya pilihan lain selain menafikan berita skandalnya yang didedahkan pada tahun lalu.

"Sebenarnya mereka menggunakan ayat ini 'mereka boleh membuat hidup saya seperti neraka dalam banyak cara'," jelas Daniels.