Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Sabtu melahirkan rasa gembira apabila mengetahui kemunculan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un yang membuat penampilan pertamanya sejak 20 hari lalu.

Ekspresi gembira itu dilahirkan Trump melalui akaun Twitternya.

Jong-un membuat penampilan pertama di khalayak ramai selepas dikatakan berada dalam keadaan kritikal susulan pembedahan sebelum ini.


Pada Jumaat, Jong-un merasmikan pembukaan sebuah kilang baja di Suncheon, berhampiran Pyongyang, bersama beberapa pegawai kanan, termasuk adik perempuannya Kim Yo Jong.

Menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), Jong Un memotong riben ketika menghadiri upacara itu sambil disambut sorakan gembira oleh para hadirin.

Khabar angin mengenai kesihatan Jong Un mula bertiup kencang apabila beliau dilaporkan tidak hadir pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran datuknya, Kim Il Sung, pada 15 April.

Majlis Il Sung disambut meriah setiap tahun bagi memperingati pengasas negara itu.

Agensi berita Amerika Syarikat (AS), CNN sebelum ini turut mendakwa Jong Un berada dalam keadaan kritikal susulan menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, portal berita berpangkalan di Seoul, Korea Selatan, awal minggu ini melaporkan, Jong Un sedang melalui proses pemulihan selepas menjalani prosedur rawatan kardiovaskular pada 12 April.