BEBERAPA negara di Asia dan Eropah mengenakan sekatan baharu pada Isnin termasuk United Kingdom yang mengenakan kuarantin kepada pengembara dari Sepanyol bermula akhir minggu lepas.

Sekatan perjalanan ini dikenakan susulan gelombang kedua COVID-19 yang kembali melanda dan dijangka memberi kesan buruk kepada sektor pelancongan.

Sebelum ini, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mengunjurkan pelancongan antarabangsa akan jatuh 60 peratus pada 2020 dan jika gelombang kedua melanda, ia akan jatuh sebanyak 80 peratus.

Menurut Reuters, Australia kini mencatatkan kenaikan kes harian tertinggi 532 kes baharu pada 27 Julai dan Vietnam memaksa 80,000 pelancong keluar selepas empat individu tempatan dijangkiti COVID-19.

Kerajaan Australia mengenakan sekatan selama enam minggu di Victoria dan dijangka dilanjutkan jika kenaikan kes baharu terus meningkat.

Dalam masa yang sama, China mengesahkan jangkitan dalam negara tertinggi sejak awal Mac seramai 61 orang dan Hong Kong melarang perhimpunan melebihi dua orang, menutup restoran dan mewajibkan pemakaian topeng muka.

Di UK, pelancong dan pengembara dari Sepanyol dikenakan kuarantin dua minggu dan dilihat merencatkan usaha untuk membuka kembali sektor pelancongan Kesatuan Eropah.

Kenaikan kes baharu COVID-19 ini mewujudkan kekhuatiran dalam kalangan pemain dalam sektor pelancongan yang sebelum ini sudah terjejas teruk akibat kejatuhan pelancong, penutupan sempadan dan arahan tinggal di rumah.

Syarikat penerbangan terbesar Eropah, Ryanair memotong sasaran penumpang tahunan sebanyak 25 peratus pada Isnin dan menjangka pertumbuhan penumpang akan sangat terkesan jika gelombang kedua berlaku.

Dalam masa yang sama, organisasi kesihatan sedunia menegaskan, sekatan perjalanan bukanlah jawapan untuk jangka panjang dan mengesyorkan strategi yang terbukti termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial dilakukan untuk menyekat penularan pandemik.

Menurut Forum Ekonomi Sedunia, negara seperti Mexico, Sepanyol dan Itali masing-masing mempunyai kebergantungan yang tinggi kepada sektor pelancongan dengan masing masing mewakili 15 ke 13 peratus KDNK.