Bahagian luar bandar Australia yang masih cuba bertahan dengan impak kemarau kini dilanda ribut debu, yang dikhuatiri terus bergerak dan mengancam kawasan yang berpopulasi lebih padat termasuk bandar raya Sydney, lapor Reuters.

Perkembangan itu sekali gus dianggap kehadiran elemen alam baharu dalam siri cuaca ekstrem yang telah mendominasi negara itu pada musim panas ini, termasuk bencana kebakaran hutan sejak September lalu.

Kepulan gergasi debu merah yang tebal dilapor menyelubungi pekan-pekan di kawasan pedalaman seperti di Dubbo, New South Wales.



"Saya sudah tidak berdaya lagi. Saya tidak boleh melihat ke dasar kolam renang (kerana air menjadi keruh), manakala kolam untuk kanak-kanak sudah menjadi lopak lumpur,” keluh Tanya Fulton, pengurus kolam renang rakyat di Tottenham yang didiami 300 orang.

Ribut debu yang membadai New South Wales dan negeri Victoria itu telah menjejaskan tempoh bertenang yang pendek, selepas bencana kebakaran yang memusnahkan kawasan seluas sepertiga keluasan Jerman, dan mengorbankan 29 orang serta satu bilion haiwan.



Sementara itu di Canberra pula pada Isnin, ketulan hujan ais batu sebesar bola kriket menghentam beberapa kawasan, sekali gus menyebabkan kerosakan teruk pada tingkap kenderaan. Penduduk tempatan turut berkongsi pengalaman menakutkan itu di media sosial.


Awal bulan ini, pihak berkuasa menasihatkan penduduk di Canberra supaya tidak keluar dari bangunan berikutan kesan asap kebakaran hutan yang menjadikan udara di bandar raya itu menjadi toksik.

Ribut debu itu diramal melanda Sydney pada sebelah petang atau malam Isnin, hingga membuatkan syarikat penerbangan Virgin Australia membatalkan beberapa jadual penerbangan. Qantas Airways pula sudah mengesahkan tiga penerbangannya dibatalkan.

Debu tebal itu dijangka boleh sampai hingga ratusan kilometer di selatan Sydney, yang sebelum ini menyaksikan banyak aktiviti pemindahan berikuta kebakaran hutan.