Sekurang-kurangnya tujuh maut dalam siri kejadian enam letupan di sekitar kawasan Sarinah, Jalan MH Thamrin, Jakarta hari ini.

Berikut adalah kronologi kejadian seperti yang dilaporkan oleh saksi kejadian, media dan pihak berkuasa tempatan:

4:45 petang: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia akan menawarkan bantuan kepada Indonesia dalam apa jua cara susulan beberapa serangan bom yang menggegarkan Jakarta hari ini.

Dalam tweet terkini beliau, perdana menteri nyatakan rasa terkejut dan amat sedih dengan serangan itu.



4.00 petang: Pasukan polis memaklumkan serangan di Jakarta telah berjaya dipatahkan, dan tiada lagi penyerang yang bebas.

Setakat i ini, lima penyerang dan dua orang awam maut dalam serangan bom dan kejadian tembak menembak yang berlaku.

"Lima pengganas maut," kata Menteri Keselamatan Indonesia Luhut Panjaitan kepada wakil media hari ini.


Serangan dan tembakan berlaku di kawasan Sarinah, Jalan MH Thamrin
3.40 petang: Sepasukan 100 anggota polis dari briged khas ditempatkan di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta bagi mengetatkan kawalan keselamatan susulan serangan di Jakarta Pusat.

Antara News memetik jurucakap lapangan terbang, Yudis Tiawan, yang memberitahu walaupun prosedur pemeriksaan dan kawalan di lapangan terbang tersebut sudah ketat, namun kini ia dipertingkat demi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.

Prosedur pemeriksaan termasuklah kandungan bagasi penumpang dan juga pemeriksaan rawak terhaap kenderaan yang memasuki kawasan lapangan terbang.

3 petang: Menurut CNN Indonesia, empat individu yang disyaki militan maut ditembak polis Indonesia.

2.50 petang: Ketua Perhubungan Awam Polis Daerah Metro Jaya Kombespol, M Iqbal, menyatakan kesemua suspek yang terlibat dalam serangan bom telah dilumpuhkan dan tiada yang terlepas.

"Semua pelaku telah dilumpuhkan. Kesemuanya terdapat tujuh orang yang terkorban termasuk empat militan," katanya.

Senjata
Antara senjata dan bahan letupan yang ditemui pihak polis, milik kumpulan yang melakukan serangan di jalan MH Thamrin. - Foto Kompas TV


2.45 petang: Pihak polis memindahkan beberapa mayat akibat ledakan dan tembakan di kawasan Sarinah, Jalan MH Thamrin menggunakan empat ambulans.

Amaran turut dikeluarkan kepada petugas media yang dilihat cuba mendekati kawasan tersebut bagi membuat liputan.

Jalan MH Thamrin masih ditutup dan pasukan keselamatan meningkatkan kawalan di kawasan Sarinah, kafe Starbucks.


Perkembangan ledakan bom di Jakarta

2.30 petang: Masih ramai orang awam yang masih berada dalam Gedung Sarinah dan mereka bimbang untuk keluar. Mereka memberitahu, semua yang berada dalam bangunan sedang ketakutan kerana mendengar bunyi letupan dan tembakan di luar.

2.15 petang: Pihak berkuasa Indonesia masih menunggu maklumat daripada pihak intelijen berkenaan serangan tersebut. Wakil Ketua MPR, Mahyuddin memberitahu, sebelum berlaku kejadian tersebut, telah tersebar khabar angin mengenainya dan ia dikaitkan dengan serangan yang terjadi di Istanbul, Turki baru-baru ini.

BACA: Daish sebarkan mesej amaran sebelum lakukan serangan

BACA: Tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa

BACA: Sebelum Jakarta, ini senarai insiden serangan pengganas di Indonesia


2.05 petang: Aplikasi tempahan pengangkutan awam dalam talian Grabtaxi Indonesia menyediakan pengangkutan percuma gratis untuk orang awam di sekitar Jakarta

2 petang: Perkhidmatan pengangkutan awam Transjakarta dihentikan bagi kawasan Koridor 1 laluan Blok M-Kota, Jakarta. Pegawai Perhubungan Awam Transjakarta Prasetya Budi berkata, pemberhentian operasi itu adalah untuk menghindari kejadian yang tidak diingini.

Sementara itu, kereta perisai dan pasukan Tentera Nasional Indonesia (TNI) memasuki kawasan tempat berlaku serangan pengeboman.


1:50 petang: Pihak media mula mendekati kawasan operasi. Arahan perintah berkurung diteruskan.

1.30 petang: Dari Wisma Antara yang terletak di kawasan Sarinah, terdengar letupan ketujuh masih dari sekitar Sarinah. Pasukan polis masih mengepung Djakarta Theatre.

bom dan tembakan

1.20 petang: Presiden Joko Widodo yang berada di Majalengka, Jawa Barat, meminta rakyat Indonesia tidak gentar dengan insiden keganasan tersebut.

"Negara, bangsa, dan, rakyat, kita tidak boleh takut, tidak boleh kalah oleh aksi keganasan seperti ini. Saya berharap masyarakat tetap tenang," kata Jokowi kepada Kompas TV.

bom dan tembakan
Keadaan pos kawalan polis yang rosak teruk akibat ledakan bom dengan satu mayat bergelimpangan di atas jalan raya. - Foto sumber Twitter


1.07 petang: Jalan MH Thamrin dan persekitaran Hotel Indonesia ditutup dari kedua-dua arah.

1.05 petang: Sepasukan anggota Tentera Nasional Indonesia telah datang bergabung tenaga bersama anggota polis untuk mengawal keselamatan di sekitar Gedung Sarinah, Jalan MH Thamrin.

1 petang: Ketua Bahagian Perhubungan Masyarakat Polis Republik Indonesia (Polri) Inspektor Jeneral Anton Charliyan meminta masyarakat untuk menghindari sekitar lokasi kejadian.

Pihak polis pada peringkat awal mengkategorikan insiden itu sebagai serangan pengebom berani mati.



12.10 tengah hari: Empat polis masuk dari Gedung Bangkok Bank ke lokasi kejadian. Tembakan mula reda.

12 tengah hari: Letupan keempat terjadi, diikuti dengan ledakan kelima dan keenam tidak lama kemudian.

Reuters melaporkan, orang ramai telah mendengar enam kali ledakan bom di kawasan tersebut.

Seorang saksi memberitahu TV One, dia melihat seorang anggota polis ditembak mati di hadapannya.

Salah satu letupan berlaku di Starbucks yang memusnahkan kaca jendela kafe itu, dan diikuti dengan adegan sepasukan polis menyerbu bangunan itu.

serangan bom

Seorang saksi lain berkata, dia melihat terdapat tiga mayat bergelimpangan di atas jalan, dan seorang anggota polis sedang mengacukan senjata kepada seorang suspek yang berada di atas bumbung bangunan tersebut.

11.50 pagi: Letupan kedua berlaku manakala ketiga berlaku enam minit kemudian.

11 pagi (10 pagi waktu Indonesia): Menurut laporan media tempatan, letupan pertama berlaku pukul 10 pagi waktu tempatan.


GALERI FOTO: Ledakan bom, tembakan gemparkan Jakarta


Sementara itu, warga Jakarta mula membanjiri media sosial dengan perkongsian situasi kejadian berserta reaksi mereka terhadap insiden berkenaan: