Pasukan kriket kebangsaan Bangladesh antara mereka yang terselamat daripada tragedi rambang oleh pengguna di masjid Christchurch yang berdekatan dengan lokasi perlawanan terakhir pasukan itu sempena perlawanan jelajah ke New Zealand.
Dalam kejadian yang berlaku di dua masjid di bandar raya itu pada Jumaat, sekurang-kurangnya 40 disahkan terkorban.
Kesatuan Kriket Bangladesh mengesahkan kesemua anggota pasukan dan kakitangan yang berdekatan dengan tempat insiden itu kembali dengan selamat sampai ke hotel mereka.
Pemain utama pasukan itu, Tamim Iqbal, berkata dia dan rakan sepasukannya dapat melarikan diri dari tempat kejadian dan menyifatkan pengalaman itu sebagai "menakutkan".
Polis sebelum itu mengarahkan agar penduduk di seluruh Christchurch berada di dalam rumah dan berkata sekolah akan berada di bawah kawalan ketat sehingga diberitahu selanjutnya.
BACA: Tragedi solat Jumaat: 40 terkorban dalam tembakan rambang Christchurch
BACA: Bintang ragbi New Zealand, Sonny Bill Wiliams, bersedih atas insiden di Christchurch
Wartawan ESPN, Bangladesh Mohammad Isam yang bersama dengan pasukan Bangladesh ketika itu, memberitahu NZ Herald bahawa pasukan itu baru tiba di masjid untuk solat Jumaat ketika mereka mendengar tembakan.
"Mereka sudah bersedia untuk keluar dari bas untuk pergi ke masjid apabila mereka mendengar tembakan dan ramai berlari keluar bangunan itu dan melihat seorang cedera di hadapan mereka.
"Selepas menyaksikan keadaan ngeri itu, mereka menunggu di dalam bas. Sekitar 10 minit kemudian mereka berlari keluar dari bas melalui Hagley Park dan ke Hagley Oval," ujarnya.
Penganalisis prestasi tinggi pasukan itu, Shrinivas Chandrasekaran berkata pasukan itu sempat melarikan diri dari tembakan itu, sementara kapten pasukan, Mushfiqur Rahim, berkata mereka sangat bernasib baik kerana masih hidup.
Bangladesh telah melawat New Zealand sejak bulan lepas. Mereka mengalami kekalahan 3-0 dalam siri antarabangsa.
Tidak jelas sama ada perlawanan akhir akan diteruskan seperti yang dijadualkan pada pukul 9 pagi pada hari Sabtu. New Zealand Cricket mengatakan ia "dalam komunikasi berterusan" dengan pasukan itu.