Satu pendedahan rakaman video tentang bagaimana pendatang dilayan di kem pelarian utama Hungary bersempadan dengan Syria telah menimbulkan kemarahan di kalangan orang ramai.

Video tersebut yang secara rahsia dirakam oleh seorang sukarelawan warga Austria yang membuat lawatan ke kem Roske pada Rabu antara lain memaparkan 150 orang pelarian sedang berebut-rebut untuk mendapatkan roti yang dilemparkan kepada mereka oleh polis Hungary.

Dalam masa yang sama, pelarian di kem tersebut dilihat kelaparan dan ketakutan serta wanita dan kanak-kanak terperangkap di dalam kesesakan ramai yang sedang berpusu-pusu mendapatkan roti yang dibaling pihak polis.

"Tindakan mereka bagai memberi haiwan makan.

“Ini jelas menunjukkan mereka benar-benar kebuluran, jika tidak mengapa ada yang sampai bergaduh dan berebut demi sebungkus roti,” ujar sukarelawan, Klaus Kufner kepada AFP.

Kufner dan jurukamera yang merakam perkara tersebut, Michaela Spritzendorfer hadir ke kem tersebut bagi menyalurkan bantuan berupa makanan, pakaian dan ubat-ubatan kepada pelarian di sana.

Rakaman tersebut dimuat naik di saluran YouTube pada Khamis dan telah ditonton dan dikongsikan lebih 20,000 orang.

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) awal minggu ini mengkritik keadaan buruk di kem Roszke begitu juga dengan pendirian tegas Hungary terhadap pendatang yang turut menyebabkan kemarahan negara-negara Kesatuan Eropah yang lain.

Hungary turut menguatkuasakan undang-undang penjara bermula Selasa kepada pendatang yang menyeberangi sempadannya.



Rakaman ini dimuat naik di YouTube pada Khamis dan telah ditonton dan dikongsikan lebih 20,000 orang.